Sebaik sampai ke pintu wad, jeritan Jalal menerpa ke telinga saya.
Jeritannya sungguh kuat kerana azab dan sakit yang ditanggungnya
tidak mampu ditanggung lagi. Saya percepatkan langkah menuju ke
katilnya. Di sisi katil saya lihat ahli keluarga Jalal sedang
menangis tersedu-sedu. Jelas mereka panik dan tidak tahu apa yang
perlu dilakukan, kecuali melihat Jalal menggelepar kesakitan dan
berdoa semoga Jalal cepat sembuh. Di katil pula, Jalal meraung dan
meronta sambil tangan dan kakinya terikat kemas di katil.
"Terima kasih ustaz sebab sudi datang bantu kami. Saya dah tak tahu
apa nak buat. Dah seminggu lebih adik saya macam ni," kata salah
seorang abang kepada Jalal sebaik melihat saya sampai.
Sebelum itu mereka menghubungi saya melalui telefon meminta saya
segera datang untuk membantu menyembuhkan penyakit adik bongsu
mereka itu.
"Apa sakitnya ni?" tanya saya. "Entahlah ustaz, doktor pun tak tau."
Sedang kami berbual, tiba-tiba sekali lagi Jalal menjerit
kesakitan.Kali ini jeritannya cukup jelas di pendengaran saya. Jeritannya
menakutkan dan menyedihkan.
"Emak, ampunkan saya mak. Panaaaassss. Saya sakit mak,
sakiiiiittttttt! Tolonglah emak, ampunkan dosa saya." Berserta
raungan yang dilepaskan sekuat hati, tubuh Jalal menggelepar
seperti dipanggang di dalam api yang marak. Mukanya berkerut sementara
matanya terbelalak akibat azab yang amat pedih. Semua yang ada di
wad berkenaan memandang ke arah kami. Jeritan itu menyebabkan saya
tertanya-tanya. Apakah yang menyebabkan Jalal jadi sedemikian rupa?
Apa pula kaitan antara penyakitnya itu dengan ibunya?
"Panggil ibunya segera," kata saya.
Namun kata-kata saya itu tidak dijawab. Ahli keluarga Jalal cuma
terdiam, menundukkan muka atau berpandangan sesama sendiri.
"Kenapa ni?" tanya saya.
Dengan perlahan abang Jalal bersuara, "Ustaz, ibu kami baru sahaja
meninggal dunia dua minggu lepas."
"Kalau macam ini susahlah sikit. Saya rasa mungkin Jalal ada
melakukan kesalahan besar kepada ibunya, sebab itulah dia
menanggung azab yang begini rupa. Dalam keadaan macam ini, cuma ibunya saja
yang dapat membantu," kata saya berterus terang.
Mereka cuma mendiam diri sementara jeritan Jalal semakin kuat. Saya
semakin ingin mengetahui puncanya kerana dengan latar belakang itu
insya-Allah saya boleh cuba carikan jalan lain untuk meredakan
kesakitan Jalal.
"Ceritakanlah kepada saya apa yang sebenarnya telah berlaku."
"Ustaz, sebenarnya adik saya ini sudah derhaka kepada arwah ibu
kami," jawab salah seorang daripada mereka.
Dengan tenang, tapi air mata bergenang abang Jalal menceritakan
kepada saya kisah yang sebenarnya, kisah yang cukup menyayat hati
saya. Menurutnya, Jalal adalah anak bongsu daripada mereka enam
beradik, empat perempuan dua lelaki dan di kalangan mereka,
Jalallah yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi. Bagaimanapun, sejak
kecil hinggalah dia bekerja dan seterusnya berkahwin, Jalal sentiasa
sahaja melawan dan menyanggah kata-kata ibunya. Nasihat dan teguran ibunya
pula dipandang rendah serta tidak diendahkan. Syurga anak di bawah
telapak kaki ibunya. Walaupun berpendidikan tinggi, Jalal sentiasa
sahaja kekurangan wang, seolah-olah tidak dirahmati rezekinya.
Berterusanlah keadaan itu hingga dia berumahtangga. Keadaan menjadi
semakin buruk apabila Jalal meletakkan jawatannya di sebuah
syarikat swasta. Hasratnya adalah untuk mencari rezeki yang lebih banyak di
syarikat lain, namun nasibnya bukan sahaja tidak berubah, malah
menjadi semakin parah. Walau di syarikat manapun yang Jalal
bekerja, ia akan menghadapi masalah yang seterusnya membawa kepada dia
meletakkan jawatan. Dalam kegawatan itulah Jalal mula meminjam wang
daripada sahabat-sahabatnya. Selepas sekian lama hutangnya semakin
banyak, namun dia masih tidak mampu melunaskannya. Rumahtangga
Jalal mula kucar-kacir dan akhirnya mereka bercerai. Bagi menyelesaikan
masalah tersebut, Jalal mendesak ibunya supaya mencagarkan tanah
mereka di kampung kepada bank. Tanah seluas 12 ekar itu
ditinggalkan oleh bapa mereka yang meninggal dunia tiga tahun sebelum itu.
"Emak, saya nak tanah tu. Bank dah setuju nak kasi RM500,000. Saya
nak duit tu buat berniaga," katanya kasar.
"Jalal, engkau ni dah melampau. Itu tanah adik-beradik kamu," jawab si ibu.
"Ahhh, saya tak kira."
"Jalal, emak tidak benarkan. Emak tau, duit tu nanti bukannya engkau
nak buat berniaga, tapi nak bayar hutang," jawab ibunya.
Bukan sahaja ibunya, malah semua adik-beradik Jalal tidak
membenarkannya mencagarkan tanah tersebut kepada bank. Jalal pulang
dengan hati kecewa. Namun dia masih bertekad untuk mendapatkan tanah
berkenaan walau dengan apa cara sekalipun. Suatu hari,Jalal datang
ke rumah ibunya. Beberapa orang adik-beradiknya ada di situ. Sekali
lagi pertengkaran berlaku dan berakhir dengan tragedi yang amat
menyedihkan. Ketika kemarahannya sampai kemuncak, Jalal menolak
ibunya sekuat-kuat hati menyebabkan kepala ibunya terhantuk di pintu.
Darah dari luka terpalit di pintu sedang ibunya terjelopok di
lantai,rebah tidak sedarkan diri. Si ibu segera dibawa ke hospital
sementara Jalal puas hati kerana dapat melepaskan kemarahannya. Akibat
pendarahan otak yang serius, ibunya meninggal dunia tanpa sempat
melafazkan keampunan kepada Jalal. Bermulalah azab dalam hidup Jalal.
Kira-kira seminggu selepas kematian ibunya, Jalal dikejarkan ke
hospital kerana jatuh sakit secara tiba-tiba. Apa yang membingungkan ialah doktor gagal mengesan penyakit yang dihadapinya. Jalal sebaliknya meraung, menjerit, meronta dan menggelepar kesakitan.
Dalam raungannya itulah dia meminta ampun kepada arwah ibunya
kerana tidak sanggup menanggung azab yang pedih. Berterusanlah keadaannya
selama beberapa hari hingga saya dipanggil. Dalam waktu itu, doktor
dan jururawat tidak dapat berbuat apa-apa kecuali mengikat Jalal di
katil dan menyuntiknya dengan ubat pelali untuk menidurkannya.
"Kalau begitu kisahnya, saya cuba cara lain," kata saya.
Di samping ayat-ayat suci al-Quran, saya membacakan surah Yassin
untuknya. Namun apabila dibacakan saja ayat suci itu, Jalal
menjerit kepanasan. Tubuhnya menggeletik dan menggelepar kesakitan.
"Aduh panasnya! Emak, ampunkanlah saya emak! Jangan bawa saya ke
situ emak, panas. Jangan bawa saya ke situ. Saya tak mau, sakit, sakit.
Tolonglah saya emak, ampunkan saya, saya bersalah."
Jeritan Jalal itu meruntun hati saya. Apakah yang dimaksudkannya
dengan 'ke situ'? Kenapa Jalal tidak mahu dibawa 'ke situ' dan apa
yang dilihatnya di situ? Akibat tidak tertahan panas, tubuh Jalal
terpaksa dibogelkan. Tangan dan kakinya terus diikat ke katil.
Selepas puas mencuba tapi keadaan Jalal masih tidak berubah, saya
meminta diri untuk pulang. Satu ingatan saya tinggalkan kepada
mereka, "Jika Jalal masih hidup selepas zuhur ini, insya-Allah
nyawanya masih panjang. Kalau tidak..." Ketika itu lebih kurang
pukul 10 pagi.
Saya tinggalkan mereka, namun sedang saya memandu, telefon bimbit
saya berdering.
"Ustaz! Cepat ustaz, adik saya dah nazak," kata si abang.
Saya berpatah balik dan apabila sampai di katilnya, saya lihat
Jalal begitu tenat. Nyawanya seperti sudah di penghujungan. Keluarganya
semakin cemas sambil air mata tidak henti-henti mengalir. Saya
bacakan Surah al-Asr, Surah al-Falaq, Surah an-Naas serta asma ul
husna. Alhamdulillah, Jalal berhenti meraung dan menggelepar.
Keadaan senyap seketika. Masing-masing beristighfar dan membaca ayat-ayat
suci al-Quran. Terbayang kelegaan di wajah mereka. Tiba-tiba,
ketenangan itu dipecahkan sekali lagi oleh jeritan Jalal. Dia
mengerang sambil tubuhnya kejang menahan kesakitan, mata terjegil
seperti hendak terkeluar dan dalam satu detik yang serentak juga
najisnya terpancut keluar. Bertabur membasahi seluarnya. Bau najis
menusuk hidung kami. Maha suci Allah, keadaannya adalah seperti
sesuatu yang berat menghenyak perutnya yang mengakibatkan nyawa,
roh,najis, organ-organ dan segala-galanya yang ada di dalam tubuh
terhambur keluar secara serentak. Di bahagian atas, semuanya
sepertihendak terpancut keluar hingga mata Jalal tersembul sementara di
bahagian bawah, kakinya kaku dan najis berhambur memancut-mancut.
Cukup aib dan menyedihkan. Pakaian dan katil basah dengan air mata,
peluh serta najisnya. Selepas 'rentapan' itu, Jalal tidak bernafas
lagi. Degupan jantungnya berhenti dan dia pergi menghadap Allah SWT
untuk menerima balasan amalannya. Tamatlah riwayat seorang anak derhaka.
Saya cuma mampu melihat dengan gementar sementara keluarga
Allahyarham menangis dan berpelukan sesama sendiri. Yang perempuan
terpaksa keluar kerana tidak sanggup melihat mayat adik mereka.
Demikianlah sakaratulmaut datang menjemput Jalal. Seperti yang
dijelaskan di dalam al-quran dan hadis, ia datang dengan menyentap,
merentap dan merenggut nyawa Jalal tanpa ada kasihan belas. Sudah
berpuluh-puluh tahun saya menguruskan jenazah dan melihat orang
menghadapi saat kematiannya, namun pengalaman menyaksikan
sakaratul maut menjemput Jalal cukup memilukan hati saya.
Kesengsaraan yang ditanggung oleh Jalal sudah berakhir, namun mayatnya
meninggalkan keaiban yang amat sangat. Matanya terbonjol seperti
hendak terkeluar sementara giginya menyeringai. Dari kerut
wajahnya,jelas sekali Allahyarham baru sahaja menanggung kesakitan dan azab
yang amat pedih. Saya cuba pejamkan mata Allahyarham, namun gagal.
Kelopak mata tidak berupaya untuk menutup biji matanya yang
tersembul itu. Cukup mengerikan kerana hanya mata putih sahaja yang kelihatan.
Ikatan di kaki dan tangan Allahyarham dileraikan dan tangannya
dikiamkan. Kaki Allahyarham dirapatkan, namun sekali lagi saya
menyaksikan keaiban kaki Allahyarham tidak boleh dirapatkan kerana
duburnya terpancut keluar dan membonjol di celah kelengkangnya.
Saya menenangkan mereka supaya bersabar dan reda dengan apa yang telah
terjadi. Selesai membersihkan tubuh Allahyarham, jenazah dibawa
turun kerana keluarganya mahu menguruskan jenazah tersebut di rumah
mereka di salah sebuah taman perumahan di sebuah negeri di pantai barat
semenanjung. Rupa-rupanya keaiban belum berakhir. Sebaik sahaja van
yang membawa Allahyarham keluar dari perkarangan hospital, tiba-
tiba keempat-empat shock absorbernya patah secara serentak. Van yang
cuma membawa lima orang, mayat yang badannya sederhana sahaja, dua orang
abang dan kakaknya, pemandu serta seorang pembantu, boleh patah
shock absorbernya? Kelindan van bergegas memanggil kami. Maha suci Allah,
Tuhan yang Maha Besar, apabila hendak dikeluarkan dari van, jenazah
itu kami rasakan teramat berat hingga terpaksa diangkat oleh
kira-kira 15 orang. Selesai masalah itu, satu lagi masalah timbul -
tidak ada van atau kereta yang berani untuk mengangkat jenazah
tersebut. Kebetulan sebuah lori kosong yang mengangkat tanah, pasir
ataupun kelapa sawit lalu di tempat kejadian. Dengan lori itulah
jenazah dibawa pulang ke rumahnya. Apa yang membingungkan kami
ialah walaupun mayat berkenaan terlalu berat, tapi kayu penusungnya tidak
pula patah. Lori bertolak ke rumah Allahyarham sementara saya pula
memandu pulang ke rumah. Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham
dikebumikan di sebelah kubur ibunya. Namun diceritakan juga kepada
saya bahawa tanah yang ditambun ke atas kuburnya tidak mencukupi.
Untuk mengelakkan kubur Allahyarham berlubang, tanah lain terpaksa
diambil dan ditambur ke atasnya.
Tiga hari kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada
keluarga Allahyarham.
"Ustaz, saya nak minta pertolongan dan pandangan daripada ustaz."
"Apa masalahnya itu?" tanya saya.
"Kubur adik saya berlubang ustaz."
Masya-Allah, demikian sekali keaiban yang Allah tunjukkan kepada
anak yang derhaka kepada ibunya. Menurut abang Allahyarham, kewujudan
lubang itu disedari sehari selepas Allahyarham dikebumikan. Lubang
tersebut bermula dari bahagian tengah kubur hinggalah mencecah
kepada papan yang menutup liang lahad. Tambah abang Allahyarham lagi,
mereka mengambusnya dengan tanah, namun keesokan harinya kubur tersebut
berlubang semula.
"Begini sajalah, cuba masukkan sekali kayu atau papan ke dalam
lubang tersebut, insya-Allah, tak berlubang lagi," kata saya.
Namun keesokan harinya sekali lagi abang Allahyarham menghubungi
saya memberitahu bahawa kubur berkenaan berlubang semula. Apa yang
membingungkannya, tanah di kubur arwah ibunya langsung tidak
berubah,masih tetap membusut walaupun sudah lebih dua minggu dikebumikan.
Bukan itu sahaja, katanya, pokok yang ditanam di kubur ibunya juga
hidup segar sedangkan pokok yang ditanam di kubur adiknya mati
kelayuan. Pada hari kelima, saya menghubungi abang Allahyarham.
"Begini sajalah," kata saya. "Mulai malam ini buatlah majlis Yassin
dan tahlil. Panggil 20 orang dan setiap seorang baca Surah Yassin
sebanyak 2 kali. Apabila selesai bacaan Yassin, minta imam bacakan
doa supaya diampunkan dosa Allahyarham kepada ibunya. Baca dalam
bahasa Melayu dan ulang doa itu sebanyak tujuh kali."
Seperti yang saya nasihatkan, pada malam berkenaan mereka
mengadakan majlis itu. Namun saya diberitahu, imam yang membaca doa tersebut
menggigil ketakutan. Alhamdulillah, pada hari ketujuh, kubur
berkenaan tidak lagi berlubang. Peristiwa ini sudah berlaku empat
tahun lepas namun masih terbayang-bayang di mata saya. Setiap kali
tibanya hari raya aidilfitri, setiap kali itulah peristiwa tersebut
menjelma dalam ingatan kerana ia terjadi cuma beberapa hari selepas
kita berhari raya. Sungguh menyentuh hati saya, ketika orang sedang
bergembira berhari raya, ketika itulah keluarga tersebut ditimpa
petaka, si ibu meninggal dunia dan anaknya yang derhaka diazab
hingga ke akhir hayatnya.
Kisah ini saya paparkan bukan untuk mengaibkan Allahyarham ataupun
keluarganya, tapi supaya kita dapat mengambilnya sebagai pedoman
dan iktibar.
Doakanlah semoga dosa Allahyarham Jalal diampunkan Allah.
- Pustaka BIJAN -
3 comments:
Cerpen ini bagus tapi bebudak muda yang ada potensi nak derhaka tak bacapu,kena cari cara lain utk sampai message pada mereka.
samada cerita ini benar-benar terjadi atau tidak adalah isu lain tetapi pengajaran yang boleh kita ambil adalah lebih utama.Cerita ini setidak-tidaknya mengingatkan saya tentang pengorbanan emak yang sangat besar yang telah mencorakkan saya pada hari ini. Semoga emak sentiasa di bawah keberkatan Allah swt.Kadang-kadang saya terlupa dan terleka juga dengan kesibukan kehidupan harian saya, dan cerita-cerita seperti ini sedikit sebanyak mengingatkan saya tentang siapa saya pada hari-hari semalamnya. Terima kasih atas peringatan yang diberi.
Assalamualaikum Tuan,
Semuanya adalah datang dari Allah dan kita sebagai umatnya harus ingat dan mengingati antara satu sama lain. Muhasabah diri harus sentiasa ada dalam diri kita dan kita harus percaya bahawa setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat ALLAH dan sentiasa di pertingkatkan darjat kita di dunia dan di akhirat.
Post a Comment