Dalam sejarah umat Islam yang panjang, ia tidak terlepas daripada kemelut dan krisis. Kita tidak harus menjadi panik dan bimbang tidak menentu. Kekuatan yang ada pada Islam, jauh melampaui kekuatan umat Islam. Maksudnya, Muslim sentiasa pergi dan datang. Satu generasi pergi satu generasi baru pula akan datang. Namun Islam tetap hidup dan berkembang.
Bukan krisis kecil berlaku sebaik sahaja Rasulullah s.a.w. wafat, akhirnya ia dapat ditangani secara yang bijaksana oleh para khalifah umat Islam. Malah lebih besar krisis selepas pembunuhan Sayidina Uthman Bin Affan, tetapi dapat juga diselesaikan.
Saya selalu mengambil pendekatan optimis. Ketika kita berada pada waktu malam kelam, terasa siang seperti tidak akan datang, tetapi beberapa ketika, fajar hari baru muncul dan esoknya pancaran matahari cukup cerah.
Demikian ketika hujan lebat, kita terasa takut seperti hujan itu tidak akan reda. Selepas itu langit cerah selepas hujan berhenti. Demikianlah alam berjalan dalam sunahnya.
Apa lagi keadaan yang tidak berlaku kepada umat Islam? Daripada kejatuhan khilafah di Baghdad pada masa lampau, hingga kejatuhan Uthmaniah Turki dan kehancuran Baghdad sekali lagi pada zaman moden ini. Islam akan tetap berkembang. Hatta di Asia Tengah ketika umat Islam ditindas dengan kejamnya, namun pergerakan umat Islam berjalan, walaupun dalam keadaan lembap. Hanya menunggu saat kelahiran pemimpin yang berwibawa, umat Islam akan bangkit semula selepas persiapan yang baik berlaku.
Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam. Hanya umat Islam harus sentiasa berfikir dan bertindak secara strategik menghadapi apa-apa keadaan pun. Kadangkala keadaan yang sentiasa tenang dan relaks itulah yang melalaikan banyak pihak.
Kemelut dan krisis membuatkan orang semakin waspada. Justeru itu umat Islam tidak harus takut menghadapi apa-apa keadaan sekalipun, asalkan sahaja mereka tahu mengambil kesempatan strategik atas apa keadaan yang berlaku.
Al-Quranul karim memberitahu kita, dalam konteks musuh Islam melakukan provokasi dalam surah al-Taubah: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka (masa ini dengan filem dan tulisan), sedang Allah tidak mengehendaki melainkan menyempurnakan cahayanya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka. Ayat yang membawa maksud sama dinyatakan oleh Allah dalam surah Saff:8-9.
Tetapi Allah tetap menjanjikan orang mukmin dalam surah al-Fath:28: Allah yang menyatakan kebenaran itu) Dialah yang telah mengutuskan Rasul-Nya dengan membawa hidayah petunjuk dan jalan agama yang benar (agama Islam), supaya dia menyenangkan dan meninggikannya atas segala bawaan ugama yang lain.
Janji Allah ini wajib kita percaya bahawa umat Islam tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit kepuakan dan kelompok.
Sebenarnya, banyak juga ayat al-Quran yang menggambarkan ketika menerima tribulasi dan ujian, ketika itulah umat Islam lebih dekat dengan kemenangan sebenar.
Mana-mana pihak yang gagal mempertahankan Islam akan ditukar dengan pihak yang lebih berpotensi untuk menjaga risalah Allah itu. Malah Rasulullah menjanjikan Islam akan terus berkembang seantero dunia. Keadaan inilah menyebabkan orang Barat semakin menunjukkan kebencian kepada orang Islam, kerana Islam makin bertapak di Amerika mahu- pun di Eropah termasuk Belanda dan Holland.
Hadis nabi juga ada menjanjikan kemunculan kemakmuran di negara-negara umat Islam sehingga sampai ketikanya tidak ada lagi mereka yang akan menerima sedekah (zakat). Ini menunjukkan berkat keadilan Islam.
Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.
Kemenangan umat Islam akan berlangsung apabila pengaruh golongan munafik dan hipokrit berkurangan. Krisis dan ujian akan menyerlahkan wajah sebenar mereka yang berkepentingan diri sendiri. Wajah-wajah jelik akan terserlah tanpa disedari oleh diri mereka sendiri.
Islam bagaikan api dalam sekam. Ia akan muncul apabila keadaan kelam-kabut. Islam akan muncul secara lebih jitu dan kuat. Ia akan membuahkan tenaga yang terpendam.
SejarahLihatlah pada sejarah umat Islam yang panjang dan tidak pernah berbohong. Abu Bakar yang dianggap lembut dan lemah muncul seperti singa yang garang membanteras kumpulan murtad. Malah sanggup memerangi mereka yang tidak mahu membayar zakat, walaupun dalam bentuk yang minimum, iaitu tali hidung unta.
Peperangan Salib dan serangan tentera tartar yang lama tidak juga menghancurkan umat Islam. Ini menunjukkan umat Islam mungkin terleka malah terlena, atau sakit. Namun mereka tidak pernah mati. Mereka akan bangkit selagi akidah ada dalam diri mereka.
Apa yang perlu, keimanan dan akidah seharusnya tertanam dalam jiwa anak-anak Muslim. Apabila negara umat Islam terjajah begitu lama, namun akhirnya mereka bangkit memerdekakan negara mereka. Muncul pula para pejuang menentang penjajahan dari Aljeria hingga Moroko, Libya dan Palestin malah umat Islam di Asia Tenggara.
Justeru itu, paling ditakuti usaha musuh untuk mencabut akidah umat Islam, merosakkan umat akhlak dan mengetepikan perjalanan syariat Islam. Pentingnya, bagi umat Islam berada pada sikap kesederhanaan tidak menjadi golongan pelampau yang membawa wajah buruk kepada Islam. Tidak juga menjadi liberal yang sampai menghapus wajah Islam yang manis.
Buangkan khurafat sampai memuja kubur atau memuja pemimpin yang masih hidup sehingga tidak lagi bersedia mempertahankan kebenaran. Buangkan penyelewengan agama sehingga kekal dalam adat negatif tinggalan zaman jumud, sehingga tidak lagi mampu berkreativiti dan membawa pembaharuan bagi menegakkan sebuah tamadun baru.
Pada kesempataan kemelut umat Islam dunia Islam masa kini, para penguasa jangan sama sekali menzalimi rakyat dengan diskriminasi. Mereka yang kaya tidak harus merebut kekayaan bagi diri sendiri tanpa ingat akan hak golongan miskin dan papa.
Para buruh harus dipertahankan hak-hak mereka dan tidak diabaikan.
Perluaskan syura secara menyeluruh. Tidak perlu meniru sesetengah pemimpin Arab yang tidak mahu mati kecuali atas kerusi presiden atau takhta. Umat Islam dijamin oleh nabi tidak akan bersatu atas kesesatan. Akan tetap ada golongan pembaharuan yang membawa islah dan tajdid pada setiap masa. Keadaan negara kita pada hari ini, jauh lebih baik berbanding dengan lima puluh tahun lampau.
Wallahualam.
1 comment:
Tanah semenanjung pada asal berpenghunikan oleh kaum yang kita labelkan sebagai orang asli kemudian didatangi satu kaum yang dipercayai dari utara asia tenggara , kehadiran mereka dikesan oleh bangsa jawa indonesia yang pada masa itu tidak berminat dengan tanah semenanjung, mereka datang ke tanah semenanjung kerana melarikan diri dari keadaan kacau bilau yang berlaku ditanah asal mereka, sebab itu orang jawa menamakan mereka WONG MELAYU ,dalam bahasa malaysia maksudnya orang lari dan dari situlah kaum melayu mendapat nama , kemudianya kedatangan kaum melayu juga disusuli oleh penduduk dari tanah sekitar semenanjung khususnya indonesia seperti bugis ,jawa , banjar dan lain2 atas faktor yang sama ,kalau nak cerita pasal penghijrahan ketanah semenanjung panjang ceritanya ,tapi mesej yang nak saya sampaikan ialah kalau tanah semenanjung dihuni oleh mereka yang melarikan diri tentunya sifat lemah itu kebanyakan ada pada masarakat yang semuanya tadi digolongkan masarakat melayu , sebab itu bila didatangi kaum cina dan india yang datang ke tanah melayu untuk mencari kekayaan , kaum melayu sentiasa ketinggalan . Sekiranya leftenan adnan yang mempertahankan singapore hingga ketitisan darah terakhir masih hidup ,pasti beliau menangis dengan nasib singapore ..... masih banyak ingin dibicara tapi masa tak mengizinkan insaallah kita sambung lagi
Post a Comment