Semakin hari mengikuti perkembangan isu semasa membuatkan saya bertambah meluat dengan scene-scene yang dilakonkan oleh watak yang hanya mementingkan kehidupan dunia semata-mata.Betapa kerakusan pemegang dan pengejar kuasa seolah-olah mereka tidak akan mati untuk selamanya. Kuasa sementara yang dipegang di atas dunia membuatkan mereka lupa kehidupan yang kekal abadi Akhirat.
Patut lah Firaun mengaku sebagai Tuhan dan tidak mahu mengikut nasihat Nabi Musa ketika mana Nabi Musa menyeru supaya mengikuti perintah Allah dan menjauhi larangannya dan membebaskan Bani Israel melata dibumi dengan aman, puncanya adalah bila sudah mendapat kuasa mereka akan lupa tentang Akhirat disebabkan segala kesenangan amat mudah sekali diperolehi dan boleh pula membeli orang lain supaya mengikut telunjuknya.
Allah S.W.T tidak akan membiarkan begitu saja mereka yang tidak mahu menurut perintahnya diseksa dan diazab samaada di dunia atau di akhirat tetapi dihantar satu golongan yang akan memberi ingatan tentang perbuatan buruk yang mereka lakukan dan jika mereka tetap berdegil tunggulah azab Allah yang akan ditimpakan kepada orang yang zalim.
Kisah sahabat Nabi Mus’ab Bin Umair mungkin cukup untuk kita sebagai renungan yang mana selepas dia berhijrah ke Madinah bersama-sama Nabi tiada baginya harta dan pakaian melainkan sehelai selendang yang diletakan di atas badannya yang bertampung dengan kulit. Baginda Nabi ketika melihat Mus’ab menangis kerana mengenangkan kemewahan yang diperolehi ketika di Mekah dahulu disebabkan terlalu dimanjakn oleh ibunya.
Baginda bertanya kepada Mus’ab ” Bagaimanakah keadaan kamu pada satu saat nanti pergi diwaktu pagi dengan satu pakaian dan diwaktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan akan diangkat lagi hidangan yang lain. Dan kamu menghias rumah kamu seperti kamu memasang kelambu Kaabah. Maka jawab sahabat ” Wahai Rasulullah tentulah kami pada waktu itu lebih baik daripada hari ini, kami akan memberi penumpuan pada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki ” Lalu Nabi bersabda ” Tidak ! Keadaan kamu pada hari ini lebih baik daripada hari itu ”
Begitulah peringatan Nabi kepada kita tentang bahayanya kemewahan yang terlampau yang mana jika tidak diiringi dengan iman pasti kekayaan yang dikejar akan membutakan hati dari melihat kebesaran Allah S.W.T. Orang yang bijak menjadikan kekuasaan dan kekayaan sebagai jambatan dia menuju ke Akhirat. Kekuasaan yang dipegang hanyalah menyuruh manusia membuat kebaikan dan mencegah dari melakukan perkara yang menimbulkan kemurkaan Allah.Kekayaan digunakan untuk menolong orang susah bukan untuk menyusahkan lagi mereka yang tersedia susah.
Jika semua manusia berfikiran begitu amanlah dunia tetapi sengaja Allah ciptakan disetiap zaman ada pembesar dan pemimpin yang zalim dan ada juga golongan yang akan membetulkan keadaan. Semoga Allah memasukkan kita semua dalam golongan pembela agamaNya.
No comments:
Post a Comment