"Ajaran Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman, didapati menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Oleh yang demikian, umat Islam dilarang mengamalkan ajaran itu. Orang-orang Islam yang telah mengambil ijazah dan mengamalkan Aurad Ismailiah yang diajar oleh Mahmud bin Abd. Rahman di mana jua berada, hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada ALLAH subhanahu wata'ala". Demikian Warta Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat pada 25 Oktober 1995 memfa twakan ajaran tersebut.
Ajaran Tarekat yang dipimpin oleh Syeikh Mahmud al-Kedahi ini, seperti kebanyakan ajaran tarekat yang lain, mengandungi unsur taksub. Tarekat yang ditubuhkan pada awalnya di Batu 5, Sik, Kedah, telah berkembang ke Kg. Hangus, Kupang dan Kg. Kijang, Baling. Pada 25 April 1979, ajaran ini diharamkan di Negeri Kedah.
la berpindah pula ke Selangor iaitu di Surau Nurul Iman, Batu 12 3/4, Jalan Sungai Long , Hulu Langat. Tarekat ini juga dikenali dengan Tarekat Ahmadiah Qadiriah.
Menurut Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Agama Islam Selangor (2000), ciri-ciri kesalahan ajaran ini antaranya; pengikut dikehendaki membayangkan wajah guru ketika berzikir dan bersuluk. Semasa berpuasa dan bersuluk, pengikut tidak dibenarkan makan makanan yang berdarah, hanya minum seteguk air sahaja apabila dahaga. Semasa upacara berzikir, suara diangkat dan diselang-selikan dengan pukulan rotan untuk menyamakan rentak irama ratib. Kemuncak ratib ialah pengikut akan melompat tidak sedarkan diri. Beberapa perlakuan aneh berlaku. Ada yang menari, ada yang tertonggeng, terselak kain dan ada yang menangis. Mengikut Mahmud, itu menunjukkan pengikutnya banyak dosa. Para pengikut pula menyatakan, ketika itu mereka sampai ke kemuncak kelazatan.
Gurunya mendakwa menerima wahyu dari langit. Pengikut pula menganggap gurunya adalah imam Mahdi al-Muntazar. Oleh itu, para pengikut menganggap diri dan amalan mereka lebih suci dan tinggi martabatnya dari orang lain yang tidak mengikut ajaran tersebut.
Selanjutnya guru membuat dakwaan yang aneh-aneh seperti dia tidak siuman semasa hendak menerima ajaran ketika bertapa di gua Bukit Enggang dan beribadat di gua yang digali. Dianugerahkan Allah kepadanya kekuasaan untuk mengetahui yang mana hak dan yang mana batil tanpa belajar, serta Allah memperlihatkan kepadanya dunia yang penuh dosa.
Mohd Fakhruddeen Che Omar (2001), calon Sarjana Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, sempat mengadakan temubual dengan empat orang pengikut tarekat tersebut termasuk isteri keempat kepada wali mursyid Syeikh Mahmud yang dipanggil dengan gelaran 'Umi'. Beliau salah seorang guru di Sekolah Menengah Madrasah Nurul Iman, Sungai Long, Hulu Langat, Selangor. Menurut Umi, mursyid adalah mujaddid umat yang tidak ada apa-apa kepentingan diri dan ikhlas semata-mata kerana Allah.Tanggung jawab murid adalah patuh dan taat kepada guru.
Umi sebagai isteri dan sekali gus murid Haji Mahmud, mengutamakan kedudukan adab sebagai murid. Rasa hormat yang tinggi dan mendalam kepada suami, menjadikannya lebih berwaspada agar tidak melanggar adab. Harapannya, dapat mengecapi nikmat dan keistimewaan sebenar dalam dunia kesufian yang dilalui oleh suaminya yang tercinta. Matlamatnya untuk menghabiskan beberapa banyak selawat dalam satu hari dan sanggup mengqada'nya jika tidak sempat habis pada hari yang sama. Katanya, "Bila ada istiqamah barulah dapat memperolehi hikmah".
Menurut seorang lagi pengikut yang menetap di perkampungan tarekat itu; ... “seorang mursyid adalah merupakan pembimbing manusia berlandaskan al-Qur'an dan al-Sunnah yang menjadi contoh dan ikutan ramai". Katanya; "setiap mereka yang ingin mencari kemuliaan diri, adalah memerlukan seorang guru mursyid sebagai pembimbing. Mereka perlu memperbanyakkan selawat iaitu kira-kira 3000 selawat sehari".
Seorang guru di Madrasah Nurul Iman mengatakan; "... liku hidup yang mencabar ini perlu ditempuhi dengan keberkatan seorang guru yang mempunyai matahati... Murid pula perlu patuh terhadap sesuatu yang diarahkan oleh guru dalam bentuk memberi khidmat".
Sementara itu seorang lagi pengikut yang merupakan tukang masak di perkampungan tarekat itu, sentiasa berusaha mendisiplin diri, tidak melakukan perkara yang sia-sia. Sebagai murid yang taat, dia akan sentiasa melakukan apa sahaja yang disarankan oleh guru mursyid mengikut kemampuan yang ada. Antara yang disarankan kepada beliau ialah membaca ayat kursi tujuh kali pada setiap pagi dan petang. Berselawat pada tiap waktu sembahyang 40 saat, setiap hari 40 minit dan sebulan 40 jam. Beliau pernah bersuluk selama tiga hari tiga malam di mana para salik tidak tidur, tidak makan dan tidak minum. Bahkan duduk tekun beribadat, berselawat, berzikir mengikut syarat dan tertib tertentu. Beliau selanjutnya menceritakan pernah berpuasa selama 4 bulan sepuluh hari dengan berpantang tidak makan binatang atau makanan yang berdarah dan berminyak.
1 comment:
Selagi seorang muslim bershahadah , menunaikan assholah dan mengakui berkewajipan ibadat2 lainnya yang dituntut islam serta tidak menyanggahnya satupun daripada rukun iman dan rukun islam siapa kita yang ndak menghakiminya.
Bermacam2 tarekat dengan bermacam2 amalan...pernahkah kita bersua sendiri dengan simurshid dari mendengar cerita ahli2nya yang belum tentu kenal pucuk pangkalnya. Buruk sangka amalan syaitan.
Post a Comment