WALAUPUN rancangan Hujah yang disiarkan secara langsung dari DBP oleh TV9 malam tadi lewat ke udara namun saya tetap juga menunggunya. Saya ingin melihat sejauh manakah pemikiran dan hujah yang dikemukakan dua ahli panel yang juga calon Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohd Isa Samad.
Saya mengharap mereka akan menuangkan sesuatu yang bernilai kepada penonton dan hadirin di DBP yang sekaligus mencerminkan kewibawan dan kemampuan mereka sebagai pemimpin tertinggi Umno. Kalau pun mereka tidak sempat membentangkan agenda mereka tetapi dapat menjawab dengan baik segala persoalan yang dilontarkan oleh pengatarcara, Mohamad Agus Yusuf.
Rancangan Hujah walaupun ringkas tetapi ia menguji kecekapan pemikiran ahli-ahli politik dalam kontesk ini calon pemimpin tertinggi Umno. Agus sengaja melantunkan soal-soal yang kurang disenangi untuk melihat sejauh mana kecekapan ahli panel yang bakal menjadi pemimpin tertinggi Umno itu.
Semalam sebagai penonton yang terpaksa menanti kira-kira 20 minit sebelum siaran bermula, saya sangat kecewa dan merasakan saya membazir masa dengan siaran itu. Kualiti yang diharapkan dari hujah kedua mereka, Zahid dan Mohd Isa sungguh mengecewakan. Kalaulah itu standard yang ditunjukki mereka untuk dipilih sebagai Naib Presiden Umno dan kalau mereka terpilih betapa Umno menjadi semakin parah.
Kedua ahli panel itu masih bersikap perasaan dengan apa yang berlaku dalam parti berkenaan dan enggan menerima kenyataan. Keduanya rela menyembunyikan penyakit dalam Umno dan tidak bersedia dan telus dalam memperkatakannya. Pada saya kedua ahli panel berkenaan tidak berjiwa besar dan suka melihat pelangi daripada ditimpa hujan.
Misalnya Mohd Isa berhujah dan menjawab persoalan secara selamba dan tidak serius memberi petunjuk bahawa begitulah keadaannya Umno sekiranya beliau menjadi salah seorang pemimpinnya. Sikap jenaka Mohd Isa itu menjelaskan begitulah juga suasana yang berlaku dalam Umno kini penuh dengan jenaka-jenaka dan sandiwara.
Mohd Isa sengaja membutakan matanya dalam melihat realiti Umno hari ini. Ada ketakutan dan sikap tidak jujur kepada Mohd Isa dalam melihat masalah Umno. Baginya, masalah rasuah dalam Umno tidak begitu serius dengan memberi andaian secara sinikal kalau ia berlaku tentu ramai orang yang digantung sepertinya.
Mohd Isa tidak serius dan cuba memberi solusi berhubung politik wang. Sikap 'tak apa' dan redha atas apa yang berlaku itulah menyebabkan masalah itu akan berterusan. Dalam pada itu jawaban Mohd Isa menjelaskan bahawa beliau benar-benar terlibat dalam politik wang dan soalan redha dengan apa yang berlaku.
Begitu juga ketika Agus menimbulkan soal Umno kini makin tidak diminati oleh golongan muda dan meminta beliau memberi jawaban, Mohd Isa tidak serius dengan persoalan itu dan cuba menafikan realiti itu dengan mengilas persoalan itu dengan menjawab bahawa ramai anak-anak muda dalam Umno. Sikap menolak realiti ini bukan satu sikap membangun dan berjiwa besar Mohd Isa sebagai seorang pemimpin.
Semua persoalan yang dilemparkan 'dikadas' dan dibalas dengan persoalan melucukan menunjukkan Mohd Isa bukan seorang pemimpin yang serius.
Saya tidak terkejut dengan sikap dan sifat Mohd Isa kerana sudah mengenali sejauh mana daya kepimpinannya dan fikrah perjuangannya selama beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dulu. Tetapi apa yang berlaku ke atas Zahid Hamidi sungguh merujakan saya.
Apa yang ditampilkan Zahid malam tadi jauh berbeza dengan sifat dan perwatakannya di publik. Di luar gelanggang ternyata Zahid mampu mempesonakan orang dengan wajah dan PRnya yang cemerlang. Tetapi malam tadi beliau gagal memberi kepuasan dan keyakinan kepada umum dengan cara beliau berhujah dan mengeluarkan idea. Seorang ahli politik yang seharusnya cekap dan pintar menghuraikan isu tidak ada kepada Zahid dalam rancangan itu.
Ternyata malam tadi Zahid banyak diselubungi emosi ketika menjawab persoalan dilemparkan oleh Agus. Perbahasan Zahid juga melencung dan beliau cuba mengelak persoalan yang dilempar ke atas batang hidungnya dengan menyalahkan pembangkang. Jawaban-jawaban yang diberikan tidak relevan dan seolah Zahid sungguh takut untuk mengkritik Umno walaupun dengan niat baik.
Seolah apa yang berlaku Zahid tidak faham apakah hujah yang diingini oleh pengerusi. Dalam rancangan yang boleh dikira menguji kepintaran dan akal begitu Zahid ternyata gagal menunjukkan kemampuannya berfikir dan berhujah secara terbuka, sihat dan bersikap profesional.
Untuk apa beliau melanyak pembangkan penuh emosi dan kebencian. Meluahkan harapan dan kata-kata akan mengajar pembangkang di Perak dalam pilihan raya akan datang. Beliau juga gagal mengawal mulutnya daripada melempar atau menggunakan kata-kata kesat yang tiidak sesuai dilihat keluar dari mulut seorang menteri agama.
Apa yang perlu beliau kemukakan malam tadi ialah hujah-hujah yang rasional berlandaskan kepada fakta bukannya emosional. Atau memberi pandangan dari sudut Islam sebagai landasan dan bukannya dari rasa sentimen dan keakuan yang tebal.
Tepukan gemuruh yang diterima oleh kedua ahli panel berkenaan malam tadi hanya tepukan budak-budak Tadika yang bukan lahir atas kehebatan dan kuliti hujah yang dikeluarkan kedua ahli panel itu tetapi tepukan untuk menyindir pihak lain termasuknya sesekali menyindir Agus sebagai pengerusi yang berjaya memerangkap kedua ahli panel itu dalam wacana intelektual begitu.
Adalah diharap ahli panel untuk rancangan akan datang lebih bijak dan mengeluarkan hujah-hujah konkrit bagi menunjukkan anda layak untuk dipilih sebagai pemimpin tertinggi Umno.
No comments:
Post a Comment