Sunday, April 5, 2009

Beza Najib Dan Mahathir




Beberapa orang sahabat menegur kawan kerana tidak mengambil bahagian menulis perkembangan yang berlaku sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO dari 24 hingga 28 Mac lalu.

Bukan kawan tak minat, tapi kawan lebih suka untuk memerhati dan menganalisis perkembangan yang berlaku. Kawan nak tengok apa gimmick yang akan berlaku dan bagaimana kesudahan perhimpunan kali ini.

Kawan nak tengok juga siapa yang akan meraung macam janda kematian suami, si jantan yang meleleh air mata macam Shah Rukh Khan dalam filem Hindustan dan si cantik manis yang menangis macam baru putus cinta dengan Mat Indon.

Nampaknya, adegan seumpama itu tidak berlaku. Kesedihan Pak Lah meninggalkan jawatan terganti dengan perasaan terharu perwakilan dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir sekali gus menjadi anti klimaks untuk episod penting dalam sejarah hidup Pak Lah.

Kalau nak kata kawan tak minat, itu tidak tepat sebab kawan turut berada di Pusat Media di PWTC bersama dengan wartawan Harakah, Malaysiakini dan The Malaysian Insider yang diharamkan membuat liputan.

Walaupun tidak diberikan pas untuk membuat liputan dan UMNO dihentam dengan teruk kononnya tidak mesra media dan tidak demokratik, namun kawan lihat wartawan portal berkenaan bebas keluar masuk membuat liputan menggunakan pas orang lain.

Ada juga wartawan Malaysian Insider yang pakai uniform RTM untuk mengelirukan petugas PWTC.

Malah mereka turut hadir dalam sidang akhbar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Itulah sifat mereka yang kawan rasa tak perlu dikomen panjang-panjang.

Sekarang fikiran kawan sudah tenang dari serabut sepanjang perhimpunan yang nampaknya lebih meriah dengan pesta membeli-belah dan kempen untuk calon yang bertanding daripada mengikuti perbahasan.

Kawan banyak membaca laporan agensi media asing dan akhbar asing mengenai perlantikan Najib sebagai Presiden UMNO yang baru dan sekali gus bakal menjadi Perdana Menteri, insya Allah pada Jumaat, 3 April ini pada satu majlis angkat sumpah yang akan bermula pada pukul 10 pagi di Istana Negara.

Secara umum, kawan lihat lebih separuh laporan yang ada serta analisis yang dipaparkan adalah berbau negatif dan menjurus kepada pandangan bahawa Najib adalah penyambung era tidak demokratik Mahathir dan Najib adalah seorang yang akan bersikap keras serta membalas dendam terhadap musuh-musuhnya.

Usaha untuk mewujudkan persepsi bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan juga tidak kurang banyaknya termasuk yang dibuat oleh orang Melayu dan Cina Malaysia yang bekerja untuk media asing berkenaan.

Depan Najib bermuka manis, di belakang habis dikutuk Najib. Itulah cara orang munafik bekerja.

Kawan hanya tersengeh membaca analisis wartawan berkenaan yang sesetengah pihak menganggapnya sebagai tepat, bernas dan menggapai realiti.

Sebaliknya, bagi kawan ia hanya menyerlahlah lagi betapa bodoh dan rasuahnya wartawan asing yang ada di rantau ini baik yang bertapak di Malaysia, mahupun di Singapura, Bangkok dan Jakarta.

Bagi yang tidak tahu perkembangan yang berlaku di Malaysia, mungkin mereka akan mempercayai analisis berita yang dipaparkan kerana corak penulisan wartawan tersebut yang menyakinkan dan disulam pula dengan nama wartawannya yang agak terkenal.

Tetapi bagi kawan, corak penulisan dan nama tidak penting lagi jika analisis yang dibuat hanya setaraf dengan mereka yang masih bertatih untuk menjadi wartawan. Langsung tidak nampak ketajaman buah fikiran mereka.

Kenapa kawan kata begitu? Mari kita lihat tentang beberapa fakta ringkas yang sempat kawan catat sepanjang perhimpunan tempohari yang mungkin boleh dijadikan asas atau panduan.

1. Mahathir memulakan sistem kuota dalam UMNO untuk mengekalkan kuasanya selepas hampir tumbang kepada Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 tetapi Najib menghapuskan kuota dan tidak mahu memegang kuasa dengan menggunakan sistem tersebut. Maknanya, Najib hanya rela menjadi Presiden UMNO jika majoriti rakyat benar-benar mahukannya. Beliau juga mengambil jalan yang susah untuk mengekalkan kuasanya dan ini berbeza sama sekali dengan Mahathir yang mencari jalan senang kerana tahu jika seseorang itu bukan Perdana Menteri adalah mustahil untuk mendapat 58 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO.

2. Najib menyerahkan kuasa memilih pucuk pimpinan UMNO kepada jumlah yang lebih besar iaitu kepada hampir 60,000 orang iaitu purata 3 wakil cawangan mengundi berbanding 2,600 wakil bahagian yang mengundi sekarang. Ini bermakna Najib jauh lebih telus, bebas dan demokratik berbanding Mahathir kerana orang kampung dan orang hulu pun boleh mengundi. Si miskin dan si comot pun kini berpeluang untuk menentukan siapa Perdana Menteri yang mereka mahukan.

3. Najib membawa konsep rakyat menguasai parti dan parti menguasai kerajaan. Sedangkan Mahathir membaca konsep parti menguasai kerajaan. Ini bermakna, Najib tidak semata-mata mengutamakan kepentingan orang parti sahaja tetapi juga rakyat mahu diutamakan. Dalam erti kata lain, kakitangan kerajaaan jangan memandang enteng peranan mereka memberi khidmat kepada rakyat.

4. Najib menyatukan pemimpin. Buktinya, Mahathir datang ke perhimpunan UMNO dan kemudiannya berpeluk dengan Pak Lah di atas pentas sebagai lambang berdamai dan mahu berganding bahu membantu Najib menguatkan UMNO. Adakah Mahathir mempunyai semangat yang sama. Anwar masih berada di luar UMNO manakala Ku Li terus menjadi duri dalam daging.

Berdasarkan 4 fakta ringkas di atas, jelas di fikiran kawan Najib berbeza sama sekali dengan Mahathir. Jadi, tak perlulah kita hendak bangga dengan laporan media asing ini.

Beberapa orang dari wartawan asing ini, memang kawan tahu telah dibela oleh Anwar sejak beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi. Ia juga telah menjadi rahsia terbuka di kalangan wartawan. Sebab itulah sebarang berita mengenai Najib dan Mahathir akan dijadikan negatif.

Kawan tahu siapa consultant yang pernah dilantik oleh Anwar untuk menjaga kepentingannya dalam media asing. Siapa yang bertemu dan siapa yang membayar itu dan ini. Dan kawan juga boleh menghidu siapa yang menyalurkan wang untuk membiayai consultant asing berkenaan.

Apapun, itu adalah kebijaksanaan Anwar dalam berpolitik.

Cuma dalam hal ini Kawan amat yakin bahawa lebih banyak kejutan dan perubahan akan diumumkan Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri nanti. Jangan terkejut, jika dasar luar negara juga akan berubah selepas ini, melihat kepada senario semasa.

Sewaktu perhimpunan UMNO tempohari Najib juga ada menyebut bahawa UMNO mesti menjadi parti yang berkhidmat bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi juga kepada kaum-kaum lain.

Maknanya, beliau mahu UMNO walaupun dikuasai oleh orang Melayu, namun kaum lain juga boleh mempercayai UMNO dan mendapat khidmat terbaik daripada UMNO.

Dalam konteks ini, kawan turut melihat Najib mahu menjadikan peranan UMNO lebih besar dan menjangkau seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum.

Jika konsep ini berjaya, alamatnya parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat akan lebih cepat terkubur.

No comments:

PUSTAKA