Wednesday, April 8, 2009
K J:Ubah @ Rebah
WALAU apa sekalipun tohmahan yang dilemparkan, Khairy Jamaludin Abu Bakar atau KJ telah menang jawatan ketua Pemuda UMNO Malaysia. UMNO sudah menerimanya. 304 perwakilan daripada lebih kurang 796 perwakilan telah pun mengundinya. Walau dikatakan telah menggunakan wang namun setakat ini Khairy adalah Ketua Pemudanya.Tidak ada siapa yang boleh menafikannya.
Khairy yang selama ini dilabelkan sebagai `budak jahat’ dalam UMNO telah dipilih oleh 304 perwakilan Pemuda seluruh Negara. Walaupun KJ dikatakan punca kepada kekalahan besar UMNO dalam PRU12 lalu, UMNO sudah pun mengiktiraf dia sebagai Ketua Pemudanya dan semua perwakilan serta ahli Pemuda Malaysia harus menerima hakikat bahawa `budak jahat’ ini sedang memegang tampuk kuasa atas kapasitinya sebagai Ketua.
Bagaimana KJ mahu menguruskan kemenangan ini ? Bagaimana KJ mahu berdepan dengan seluruh jentera Pemuda yang selama ini mengkritik beliau secara berdepan ataupun secara belakang. Adakah mampu KJ menyelami kepayahan dan hati budi Pemuda yang selama ini hebat membersihkan segala kekotoran Pemuda yang ditinggalkan oleh KJ apabila KJ pula menang Ketua Pemuda dalam pemilihan lalu ? Apakah layak KJ jadi ketua dengan hanya bermodalkan 304 perwakilan yang memilihnya dan semua orang tahu siapa mereka yang 304 ini.
KJ menggulung ucapan sebagai Ketua Pemuda dengan merayu supaya Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir bersamanya untuk menyatupadukan Pemuda. Memang ini suara yang biasa didengar namun apakah boleh KJ menjadi pemimpin Melayu yang ada roh serta jati diri dengan mengambil falsafah UMNO itu sebagai panduan kepimpinannya. Nampak KJ sedang mencari dahan-dahan untuk bergantung. Ucapannya mungkin ikhlas tetapi mungkin juga mengelak daripada diboo untuk kesekian kalinya oleh perwakilan.
Ataupun KJ akan kekal dengan lagak sombong serta mulut celuparnya yang mana selama ini telah menjadikan ramai orang UMNO dan hati rakyat terguris. Adakah mampu KJ menyelami kesusahan Pemuda kampung yang bergelumang dengan pacat dan lintah, bergelumang dengan selut dan lumpur merayu sokongan rakyat bagi mengembalikan kekuatan UMNO yang tercalar dengan sikap pemimpinnya sebelum ini, dengan sikap KJ yang rakus dan bermaharajalela bertiketkan menantu Perdana Menteri
Adakah mampu KJ membersihkan segala kekotoran yang selama ini terpalit ke badannya kerana dia dikatakan sebagai punca hilang sokongan rakyat kepada pimpinan bapa mertuanya Pak Lah? Adakah mampu KJ meyakinkan ahli UMNO dan rakyat bahawa dia adalah aset serta bukan liabiliti kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Adakah KJ bersedia KJ untuk mengikis imej elit yang ada dalam badannya, adakah beliau bersedia untuk lari dalam guni kerana selama ini dia peminat sukan polo yang tidak mampu disertai oleh ahli Pemuda luar Bandar dan berapa banyak sukan kampung yang dia tahu?
KJ kena ingat, jawatan Ketua Pemuda bukan jawatan main-main. Bukan jawatan untuk mengejar harta dan kuasa semata-mata. Jawatan ini adalah amanah daripada bukan sahaja Pemuda UMNO tetapi amanah dan tanggungjawab daripada seluruh orang-orang Melayu. Keseluruhan orang Melayu tidak boleh dibeli dengan material semata-mata seperti KJ membeli perwakilan Pemuda untuk mengundinya.
Kita tidak mahu KJ akan dianggap berterusan sebagai pengkhianat Melayu, agen Negara luar, rakus mengaut untung, dulunya sebagai menantu dan kini sebagai Ketua Pemuda dan KJ kena ingat. Semua orang sedang memerhati tingkah, perangai dan apa sahaja yang KJ lakukan.
KJ sedang berdepan dengan cabaran besar untuk meyakinkan golongan muda supaya kembali menghargai serta mencintai perjuangan UMNO. Zaman KJ bukan lagi zaman hisap cerut di Mandarin Oriental dengan dikelilingi oleh kapitalis politik, zaman KJ hari ini adalah membuang segala ego untuk kembali ke akar umbi menyelami segala masalah UMNO dan rakyat.
Rakyat sedang mencari wajah sebenar KJ. Ahli UMNO termasuklah exco yang menang dan bakal dilantik tidak haruis sama sekali menjadi pak turut atau tukang angguk kepada segala kemahuan peribadi KJ dan Razali Ibrahim sebagai Naib Ketua Pemuda harus menjadi dacing untuk megimbangi kebencian sebahagian besar kebencian Pemuda kepada seorang pemimpin yang bernama KJ supaya Pemuda UMNO Malaysia tidak menjadi retak menunggu belah.
KJ harus berubah untuk menjadi seorang Ketua yang berimejkan sederhana tetapi tegas mempertahankan UMNO. KJ harus berubah untuk menjadi pemimpin yang bukan sahaja diterima oleh 304 perwakilan tetapi diterima oleh keseluruhan ahli UMNO di seluruh negara.
KJ harus berubah untuk menjadi pemimpin Melayu yang kaya dengan adab sopan serta menghormati pemimpin yang lebih lama dan berpengalaman.
KJ harus berubah untuk menjadi seorang Melayu yang sebenarnya dan meletakkan kepentingan Melayu dan UMNO mengatasi kepentingan peribadinya.
Jika tidak berubah, KJ akan rebah sebelum waktunya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment