Thursday, May 14, 2009

Abu Talib Othman


Kepada Abu Talib Othman, suka saya nasihatkan, walaupun beliau adalah Pengerusi SUHAKAM, tidak bererti atas nama hak asasi manusia. membenarkan beliau menganggap krisis politik di Perak perlu dikaitkan dengan hak rakyat dan meminta Istana Perak membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan rakyat menentukan hak politik mereka melalui pilihanraya. Sebagai bekas Peguam Negara dan orang lama dalam arena undang-undang, Abu Talib juga tidak perlu cempera, dalam mengeluarkan kenyataan dengan menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan Mohd Nizar sebagai Menteri Besar, menyukarkan lagi krisis politik di Perak.

Abu Talib wajar memahami (patut dah faham), bahawa proses undang -undang adalah kaedah terbaik, dan dalam isu ini malah prosesnya bukan sahaja menjadikan undang-undang sebagai jalan penyelesaian malah lebih dari itu, bakal memperbaiki apa sahaja kekurangan yang ada bagi membolehkan apa jua kekeliruan dalan Akta Tubuh Negeri Perak diperbaiki agar menjadi lebih jelas dan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan pada masa depan.Ini adalah sebahagian daripada nasihat Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengadili kes ini ketika memutuskan Ir Nizar kekal sebagai MB. Abu Talib harus faham (patut dah faham), bahawa keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali mengekalkan Dr. Zambry sebagai MB, sehingga Mahkamah Rayuan memutuskan keputusannya, adalah perkara yang mesti dihormati.

Jadi soal keputusan Istana Perak jangan dikokokkan lagi; sudah dibawa ke Mahkamah Rayuan – jadi sebagai rakyat yang celik undang-undang, kita bersabar dan tunggu keputusan berasaskan undang-undang. Politik Malaysia berada di bawah undang-undang, jadi jangan ditokok-tambah dengan cakap-cakap yang lebih mengelirukan. Orang yang bercakap bak meludah ke tanah, tetapi kesan percakapkannya dalam kes ini memberikan implikasi terhadap intergriti Mahkamah dan Perundangan.

Tidak perlulah ketika ini, Abu Talib tiba-tiba membangkitkan, Artikel 21 Pengisytiharan Universal Hak Asasi Manusia 1948, sebagai alasan untuk mengaitkan kemelut politik di Perak dengan Hak Asasi Manusia, berasaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Suhakam.Abu Talib harus sedar, Artikel 21 itu antara artikel Hak Asasi Manusia paling jenaka di dunia. Dalam kes yang lebih wajar, lebih kritikal, tidak ada sesiapa pun memperdulikan Artikel 21 ketika Pengsiytiharan Universal itu amat perlu dan sangat relevan untuk diperjuangkan dalam isu Palestin, Iraq dan Afghanistan secara adil dan menyeluruh.

Kes-kes membabitkan artikel itu diabaikan sejak disiytiharkan pada tahun 1948 (merujuk pada isu Palestin). Kes di Perak belum 6 bulan. Jadi Abu Talib eloklah bersabar, tanpa mengaitkan krisis ini sebagai bertentangan dengan Artikel 21. Malaysia sudah 12 mengadakan Pilihan Raya Umum. Malah belum pun setahun dijalankan, sudah empat pilihanraya kecil dijalankan bagi memenuhi amalan demokrasi.
Jadi bersabarlah, Suhakam tidak perlu cempera; hingga membawa Artikel 21 jadi isu perdebatan.
Abu Talib, kalaupun bidang kuasanya sebagai Pengerusi Suhakam hanya terbatas di Malaysia, tetapi sebagai pecinta keadilan dan kemanusiaan – akan lebih dihormati kalau bangkit di pentas antarabangsa, dengan inisiatif keperibadiannya untuk memuliakan Artikel 21 agar dilaksanakan segera di Palestin, Iraq dan Afghanistan, melalui sistem pilihanraya yang telus dan tidak dibonekakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Akhir kata, kepada Abu Talib, suka saya nasihatkan – kalau pun sedap naik bot meluncur di laut luas, janganlah terlalu cempera, kerana pulau yang kita tinggalkan tiada cacat-celanya. Sekali pun atas nama kemanusiaan atau menjunjung tinggi Pengisytiharan Artikel 21 atau apa juga artikel PBB yang lain, jangan lupa: “Kita Malaysia juga memliki Undang-Undang dan Sistem Kehakiman yang selama 52 tahun memilihara hak politik untuk rakyat mengundi pemimpin mereka sendiri. Bukankah kita sudah berpilihan raya 12 kali!

1 comment:

Anonymous said...

undang -undang manusia yang bikin , dan akan merobiknya bila ia tidak menguntungkan ,mengubahkannya sahingga ia menguntungkan pemegangnya ,itusebabnya undian ramai pemutus yang terbaik ,berani kerana benar dan takut kerna salah

PUSTAKA