Thursday, September 24, 2009

Politik Idea

Politik sentimen ataupun politik idea?

Ramai antara kita hari ini lebih gemar mendahulukan khabar angin daripada mengkaji secara mendalam sesuatu situasi tersebut. Seringkali kita menjumpai penyokong sesebuah parti yang menyokong membuta-tuli tetapi bila ditanya mengapa sokong?, mereka tidak dapat memberikan hujah yang meyakinkan. Oleh itu, rakyat Malaysia dan para penyokong mana-mana parti, perlulah berfikir secara waras dan teratur dalam menentukan taat-setia masing-masing terhadap parti yang disertai.

Beberapa kajian terdahulu pernah dilakukan untuk memahami konsep persaingan. Persaingan yang dimaksukan termasuklah yang berkaitan perniagaan, jawatan, merebut sumber dan untuk menilai kekuatan politik. Antara kaitan yang termasyhur adalah berkenaan Teori Permainan (dicipta oleh John Nash, pemenang hadiah Nobel Ekonomi 1994) yang memberikan gambaran tentang konsep persaingan.

Pada tahun 1986, seorang ahli sarjana barat ada menerbitkan hasil kajian beliau dalam majalah Economist berkenaan model risiko politik. Dalam terbitan yang tidak menyatakan nama penulisnya itu, model ini diberi nama ?Economist Model?.

Pada mulanya model ini dicipta dan digunakan dalam bidang ekonomi untuk memahami dan mengesan kewujudan risiko dan seterusnya merancang langkah-langkah untuk menguruskan risiko tersebut. Model-model sebegini sering digunakan oleh institusi kewangan antarabangsa dan Bank Dunia untuk menentukan samada mereka patut memberi pinjaman kepada negara-negara yang memerlukan bantuan kewangan untuk memastikan negara penghutang mampu untuk membayar balik hutang.

Namun baru-baru ini saya terfikirkan, apakah mungkin wujud ruang untuk menggunakan model tersebut sebagai alat untuk memahami politik. Setiap rakyat bertanggungjawab ke atas pemimpin yang dipilih, namun apakah caranya atau metodologi yang mungkin sesuai digunakan dalam membuat keputusan?

Penerimaan berita atau maklumat yang bias mudah didapati dinihari. Tidak kiralah parti mana yang ingin disokong, tetapi keputusan itu perlulah dibuat atau kesedaran dan berasaskan kepada ilmu dan bukannya khabar angin dan sentimen. Mungkin model Economist yang diubahsuai dapat memberi sedikit ?laluan? untuk berfikir ke arah itu.

Secara asasnya model Economist dipecahkan kepada tiga aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial. Di bawah aspek politik, pembolehubah-pembolehubah yang dikaji adalah bad neighbours (3), sikap autoritorian pemimpin(7), staleness(5), illegitimacy(9),penguasaan tentera dalam pentadbiran(6) dan risiko peperangan(20).

Bagi aspek ekonomi pula, pembolehubah-pembolehubah yang dikaji adalah kejatuhan keluaran negara kasar per kapita(8), kadar inflasi(5), pengaliran keluar modal(4), hutang luar negara(6), penghasilan makanan yang rendah(4) dan kebergantungan pada sumber komoditi(6).

Pembolehubah-pembolehubah yang wujud bagi aspek sosial yang dinilai adalah proses urbanisasi(3), kewujudan golongan fundamentalis agama(4), rasuah(6) dan ketegangan etnik(4).

Nombor-nombor dalam kurungan menunjukkan skor maksimum yang diperuntukkan kepada setiap pembolehubah. Jumlah keseluruhan dalam 100 dan semakin tinggi indeks tersebut, semakin berisiko sesebuah negara (terpulang pada masing-masing untuk mendefinisikan risiko kerana risiko bagi satu pihak adalah peluang bagi pihak yang satu lagi dan sebaliknya).

Setiap aspek ini dikaji dan dibuat perbandingan tentang tindakan yang sesebuh kerajaan akan ambil. Dalam aspek politik, pembolehubah bad neighbour bermaksud negara berjiran dengan kuasa besar atau politik serantau yang bergolak. Sekiranya masalah dengan Singapura contohnya berkaitan perebutan kawasan perairan dan perebutan dengan Filipina ke atas wilayah Sabah tidak diuruskan dengan bijak, maka ini akan menyumbang kepada risiko politik yang tinggi.

Kehadiran pemimpin yang autoritorian dalam sesebuah negara pula dijangkakan akan menurunkan risiko politik dan menjamin keamanan. Penguasaan satu-satu parti politik untuk jangkamasa yang lama akan menyebabkan cengkamannya semakin berkurangan, mungkin disebabkan keinginan masyarkat yang lebih gemar kepada perubahan dan tindakan yang lebih populis yang boleh ditawarkan oleh pihak lain.

Illigitimacy pula berkaitan undang-undang yang ketat dan tegas dalam pelaksanaannya, tanpa mengira kaum, bangsa dan kewarganegaraan. Setiap individu yang melakukan kesalahan perlu dihukum seadilnya. Pembolehubah peperangan pula perlu dinilai berdasarkan kewarasan ahli politik sedia ada.

Untuk aspek ekonomi pula, kejatuhan keluaran negara kasar (KNK) per kapita perlu dikaji. Namun pada pendapat saya, aspek ini dinilai sebenarnya bertujuan mengetahui indeks kemiskinan dalam negara. (Pada ketika ini, banyak indeks yang dikemukan untuk mengkaji tahap kemiskinan). Rakyat perlu peka terhadap sebarang perubahan dalam pertumbuhan KNK negara untuk melihat prestasi kerja kerajaan semasa.

Kedua adalah berkaitan inflasi. Setiap rakyat perlu peka terhadap kadar inflasi semasa dan melihat bagaimana kerajaan sedia ada menangani kenaikan inflasi. Pengaliran keluar modal pula akan memberi kesan jangka panjang yang buruk. Penubuhan koridor ekonomi juga menimbulkan kebimbangan kerana ini mungkin mewujudkan pemilikan asing yang tinggi di Malaysia. Hutang luar negara juga perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya setiap orang memahami liabiliti atau tanggungan negara.

Maklumat ini penting untuk kesejahteraan generasi akan datang. Penghasilan makanan yang rendah pula mungkin membawa dua pengertian. Pertama, harga makanan tempatan meningkat atau kedua, perut rakyat yang kelaparan. Kebergantungan terhadap hasil komoditi seperti minyak dan kelapa sawit turut mempunyai risikonya yang sendiri.

Pada ketika ini negara kita banyak bergantung kepada hasil petroleum dan kelapa sawit, dan sebenarnya perkara ini adalah sangat berbahaya kerana hasil yang diperolehi bergantung kepada pergerakan dalam pasaran terbuka. Kita sewajarnya mula menumpukan kepada sektor perkhidmatan untuk lebih terjamin dari sudut ekonominya.

Aspek sosial pula melihatkan 4 faktor yang boleh dikawal iaitu yang pertama pembolehubah urbanisasi. Pembangunan yang tidak sekata akan menyebabkan dasar berkaitan harga makanan tidak seimbang mengikut kawasan. Pada masa yang sama, kadar jenayah juga akan meningkat bagi kawasan yang terlalu pantas pembangunannya.

Kewujudan golongan fundamentalis Islam juga dikatakan boleh menyumbang kepada peningkatan risiko politik, namun pembolehubah ini diragui teknik penggredannya. Kes-kes rasuah juga perlu diuruskan dengan baik oleh kerajaan semasa. Tindakan kerajaan dalam membasmi rasuah perlu sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Dan yang terakhir adalah pembolehubah ?ketegangan etnik?. Malaysia merupakan negara berbilang kaum. Tindakan kerajaan dalam menyeimbangkan ketegangan antara etnik atau kaum perlu juga diperhatikan dan dinilai keberkesanannya.

Pengubahsuaian model ekonomi untuk digunakan dalam dunia politik memberikan satu tatacara atau kaedah yang lebih tersusun untuk membuat keputusan dalam politik. Ini menjadikan setiap tindakan yang diambil adalah terancang dan menampakkan hubungkait antara setiap faktor dengan yang lain. Setiap rakyat perlu mempunyai cara yang terbaik untuk menilai kerajaan mana yang perlu dipilih dan menentukan calon dan parti yang akan diundi pada pilihanraya.

Sememangnya politik merupakan suatu yang sungguh serabut dan volatile (pendapat peribadi), oleh sebab itulah wujudnya keperluan mereka-bentuk model yang dapat membantu memperjelaskan keadaan pada tingkat ketepatan yang tinggi.

Dengan adanya model seperti ini, penubuhan sesuatu kerajaan itu adalah berasaskan kepada pemikiran setiap rakyat, yang berlandaskan idea dan bukannya emosi dan sentimen semata-mata. Ayuh, mari merubah cara berfikir!

No comments:

PUSTAKA