SEKIRANYA suasana politik masih seperti pra-Mac 2008, dan MIC dicalonkan di situ, harapan PKR untuk mempertahankan kerusi Hulu Selangor adalah lebih baik. Keputusan pilihan raya umum lalu menunjukkan pengundi memang menolak Palanivel.
Ada tiga kerusi DUN di bawah parlimen Hulu Selangor, ketiga-tiganya berjaya dimenangi oleh BN, iaitu Kuala Kubu Baru (Wong Koon Mun – MCA), Hulu Bernam (Datuk Mohd Idris Abu Bakar – UMNO), dan Batang Kali (Mohd Isa Abu Kassim – UMNO).
Jika pengundi-pengundi di tiga DUN itu memberikan juga undi mereka kepada Palanivel, pastilah Parlimen Hulu Selangor menjadi hak BN, dan dengan majoriti yang sepatutnya jauh lebih besar dari 198.
Katakan Palanivel betul-betul dicalonkan kali ini, apakah tidak mungkin keputusan 2008 itu akan berulang. Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak kisah siapa yang dicalonkan.
Tetapi beliau mengingatkan calon itu mesti diterima oleh pengundi muda yang jumlahnya lebih 12,000 dan mungkin menjadi faktor penentu. Apakah pada hemat BN Palanivel, atau mana-mana calon MIC boleh diterima oleh pengundi muda?
Mungkin keadaan tidak lagi seperti 2008. Pada PRU dulu pengundi ingin perubahan untuk menguji. Bukan sahaja di Hulu Selangor sekian banyak lagi kerusi Parlimen dan DUN BN terlepas ke Pakatan Rakyat. Tsunami perubahan melihat lima negeri beralih ke tangan pembangkang.
Dua tahun telah berlalu sejak tsunami tersebut, rakyat mula menilai dan menyoal, apakah PR yang terdiri dari PKR, DAP dan Pas betul-betul pilihan yang lebih baik? Sesetengah soalan itu telah terjawab dengan jelas di hadapan mata.
PR sama juga seperti BN tidak betul-betul padu. Dalam kalangan komponen sering bercakaran sama sendiri. DAP dan Pas sentiasa tidak sebulu sehingga kerap mengeluarkan kenyataan bercanggah.
PKR sejak sebulan dua ini nampak tidak stabil, dengan tiga orang anggota Parlimen meninggalkan parti, dan seorang lagi dipecat. Mereka yang keluar dan dipecat berjaya mendedahkan beberapa keburukan dan kelemahan parti. Sedikit sebanyak termakan juga di hati pengundi.
Dalam kes Hulu Selangor sendiri, wakil PKR (arwah) Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dikatakan tidak banyak membawa apa-apa perubahan di situ. Malah, dengan kesihatan beliau yang selalu uzur, peranan sebagai anggota Parlimen tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Maka, atas senario begini BN ingin sekali lagi meletakkan calon dari MIC. Cakap-cakap dari kalangan PR kononnya Datuk Zaid Ibrahim akan diletakkan sebagai calon PKR. Kalau benar seperti yang dicakapkan, apakah bekas menteri dan peguam terkenal itu ayam sabung yang baik untuk melawan ayam MIC?
Akhir kalam, lepas yang ke-10 di Hulu Selangor, akan ada satu lagi pilihan raya kecil ke-11, iaitu bagi kawasan Parlimen Sibu (Sarawak). Wakilnya, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew, meninggal dunia Jumaat lalu.
Pada sembilan pilihan raya kecil sebelum ini kedudukan ‘gol’ ialah PR menewaskan BN 7-2. Ramai yang menunggu kedudukan gol pada 25 April nanti. Ada yang siang-siang meramalkan Hulu Selangor adalah tendangan penalti buat PR.
Tetapi kita perlu menerima hakikat, bahawa bola itu bulat – tidak ada ramalan yang tepat sehinggalah tendangan itu betul-betul menembusi gawang!
No comments:
Post a Comment