Thursday, June 24, 2010

PRU ke-13 : Nov 2010 @ April, 2011?

Seperti dilaporkan media massa, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Professor Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat, pilihanraya umum ke-13 dijangka akan diadakan hujung tahun ini kerana Perdana Menteri memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahamad Badawi.

Katanya, beliau bersependapat dengan Tun Dr. Mahathir bahawa pilihanraya umum wajar dipercepatkan dan menjangkakan seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Jika pilihanraya umum diadakan pada hujung tahun depan, ianya sudah menjadi pilihanraya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan.

Pada Rabu, 18hb. Jun, Perdana Menteri berkata tarikh pilihanraya umum akan mengejutkan semua pihak. Dengan keyakinan popularitinya semakin meningkat sebagaimana kajian Merdeka Center for Opinion yang menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuashati dengan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.

Sukar untuk dipastikan, sejauh mana Najib bersedia melakukan pilihanraya umum lebih awal sebelum cukup tempoh tiga tahun yang menjadi amalan Perdana Menteri sebelum ini. Jika Najib memilih untuk membubarkan parlimen lebih awal dari tempoh 3 tahun, adakah semua Menteri Besar terutama yang bukan dari kalangan Barisan Nasional akan turut membubarkan DUN di negeri masing-masing bagi membolehkan pilihanraya serentak diadakan.

Pilihan yang ada pada Najib sekarang ini, adalah untuk membenarkan pilihanraya negeri Sarawak diadakan secara berasingan seperti sebelum ini, atau diadakan serentak dengan pilihanraya persekutuan. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkeyakinan pilihanraya umum kali ini diadakan pada bulan April, 2011 serentak dengan pilihanraya Sarawak.

Jika diadakan pilihanraya negeri Sarawak lebih awal sebelum pilihanraya umum persekutuan tetapi keputusan tidak memihak kepada BN seperti pilihanraya kecil Sibu baru-baru ini, ini akan memudahkan Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan Persekutuan.Percaturan BN kali ini agak kritikal. Jika pilihanraya persekutuan hendak diadakan serentak dengan pilihanraya Sarawak bagi menjimatkan kewangan negara, tempoh yang terbaik adalah selepas bulan Mac, 2011 hingga hujung tahun tersebut.

Talian hayat BN sekarang ini adalah bergantung kepada persempadanan semula kerusi pilihanraya parlimen dan DUN yang memihak kepada mereka. Dalam Muktamar PAS ke-56 baru-baru ini, Datuk Abdul Halim Abd. Rahman, Pengarah Pilihanraya PAS mengingatkan Pakatan Rakyat boleh terlepas Selangor dan Kedah dalam pilihanraya akan datang. Manakala Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri kanan pula meramalkan hanya kerajaan Kelantan dan Pulau Pinang sahaja mampu dipertahankan oleh pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri ,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1hb. Jun lalu yang memberi petanda bahawa kabinet kali ini adalah kabinet yang dibarisi senator untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 selain menyelesaikan krisis kepimpinan dalam parti komponen BN terutama MCA, MIC dan PPP.

Empat orang senator baru lantik sebagai Timbalan Menteri berikutan rombakan kabinet pada 1hb. Jun, 2010 adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel sebagai Timbalan Menteri Perusahaan, Preladangan dan Komoditi, Naib Presiden Kanan PPP, Datuk Maglin Denis D’Cruz sebagai Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta dua orang Naib Presiden MCA, Datuk Donald Lim Siang Chai dan Gan Ping Shou sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sebelum itu dalam kabinet yang dibuatnya selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Pak Lah pada Mac, 2009 beberapa orang telah dilantik senator untuk dijadikan Menteri dan Timbalan Menteri. Diantaranya, dua orang pemimpin parti yang dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menterui adalah Ketua Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dijadikan Senator untuk dilantik sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri.

Selain dua pemimpin utama tersebut, Najib melantik 3 orang lagi sebagai Senator untuk dilantik sebagai Menteri, iaitu Mejar (B) Jamil Khir Baharom, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Datuk Idris Jala sebagai Menteri diJabatan Perdana Menteri dan Menteri wilayah Persekutuan.

Tidak cukup dengan ini, beberapa orang lagi pemimpin BN yang turut dilantik sebagai Senator untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri seperti T.Murugiah (PPP), Datuk Maznah Mazlan (UMNO), Datuk Awang Adek (UMNO), Dr. Mashitah Ibrahim (UMNO), A Kohilan Pillay (Gerakan), Chiew Mei Fun (MCA).

Najib memilih mengekalkan T. Murugiah yang berseteru dengan Presiden PPP. M Kayveas sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan kabinet baru-baru walaupun didesak oleh PPP. Bagi meredakan kemarahan Kayveas, beliau melantik seorang lagi pemipin PPP sebagai Timbalan Menteri.

Kabinet Najib kali ini juga janggal kerana Datuk G. Palanivel hanya dilantik sebagai Timbalan Mentei sahaja sedangkan beliau adalah Timbalan Presiden MIC berbanding dengan Datuk Dr. S Subramaniam yang dilantik sebagai Menteri walaupun hanya menjadi naib Presiden MIC, satu tahap dibawah Timbalan Presiden.

Sama ada perkara ini terlepas pandang atau perkara ini disengajakan oleh Perdana Menteri keatas pemimpin MIC memnyebabkan berlaku sedikit keganjilan. Untuk mengelak dari menggugurkan mana-mana menteri dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Najib sepatutnya boleh melantik dua Menteri dikalangan MIC.

Kenapa Najib hendak menafikan hak kaum India diwakili sewajarnya dalam kabinet? Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Sebelum dari ini pun pernah ada dua pemimpin MIC menjadi Menteri kabinet serentak. Apakah Najib akan membuat perubahan kepada kedudukan perwakilan MIC dalam kabinet setelah G. Palanivel dilantik sebagai pemangku presiden?

Sama-sama kita tunggu.

No comments:

PUSTAKA