Wednesday, July 14, 2010

Bila Kita Buat Silap..

Petang yang aman damai, saya pelawalah isteri dan anak-anak bersiar-siar di taman rekreasi untuk memecah "monotonous"demi kebahagiaan rumahtangga kita. Pusing punya pusing mencari tempat letak kereta maka jumpa juga akhirnya di sudut yang agak ramai pengunjung ditaman itu. Kita pun mencari kawasan lapang untuk diletakkan tikar dan bekalan makanan sekadar memeriahkan lagi suasana berekreasi itu. Anak-anak kita yang aktif tu kita biarkan mereka melompat-lompat dan berlari melakonkan semula bintang pujaan TV mereka "gagahnya power rangers" dan "ajaibnyadoraemon", yang mana kita sendiri gagal membendongnya. Pada ketika inilah isteri kita akan bertambah manja berdamping rapat duduk di atas tikar itu. Dan air mukanya berseri senyum melihat keindahan alam sekeliling.

Ramailah pengunjung lalu lalang di hadapan dan di belakang kita termasuklah juga anak-anak gadis bersendirian, dengan keluarga dan berkumpulan bersama-sama menikmati keindahan alam rekreasi ciptaan Illahi itu. Sebagai insan yang sentiasa terdedah oleh bisikan syaitan, kadang kala mata kita "terjeling" juga mengekori bayangan mereka yang baru lalu di depan terutama sekali yang telah menghiasi diri mereka untuk ditontoni. Pandang pertama dikira tidak mengapa kerana ia adalah gerakan spontan dari refleksi saraf kita. Tetapi jika kita ulangi dengan kedua dan ketiga dengan pandangan yang seolah-olah ingin "ta'aruf" dengannya maka yakinlah, pada ketika ini isteri kita telah dan sedang memerhatikan arah tuju panahan mata kita itu. Isteri kita tidak menegur dan terus mendiamkan dirinya sambil memendam rasa dan bertambah remuk lagi jika dilihatnya kita bertambah ghairah hingga sanggup memalingkan kepala 90% ke arah "objek" tersebut.

Maghrib telah hampir tiba, maka kita pun berkemas semula untuk kembali ke rumah. Jelas kelihatan anak-anak kita puas dan malah ada yang tidak mahu balik kerana masih belum puas "berpower rangers" di situ. Tetapi tidak pada isteri kita. Kita pun naik hairan!. Bagi isteri yang "cool" sedikit akan bersindir dulu dengan kata, "Tadi tengok anak dara baju merah tu macam nak makan aje!" Bagi isteri yang lebih berani akan berkata, "Apalah you ni, depan I you tengok perempuan lain pulak.. malulah I".
Bagi suami yang cepat-cepat sedar kesilapannya akan terus membalas dengan gurauan seperti, "Wow! you nampak ke?, Ala hai, depa dah lalu, tengok sikit aje, bukan apa-apa, sorry lah ye!. Itu lintasan syaitan mata I aje".

Kes yang ini biasanya menyejukkan kembali gelora kepanasan darah geram di lubuk sanubari isteri kita tu. Bagi suami yang ada ego tu akan mempertahankan benang basahnya dengan," Esy! tak de lah, I tak tengok pun". Kes begini akan memanaskan lagi suasana dengan perdebatan yang bertambah panas seperti, " Apa, you ingat mata Ini buta ke?". Pada ketika ini, anak-anak dibelakang tu dah "confuse" dengan tingkahlaku emaknya. Mereka mungkin menyebelahi ayah mereka. Sampailahke rumah perdebatan yang tiada berkesudahan yang berjalan tanpa pengadil-pengadil yang arif lagi bijaksana menetapkan keputusannya.

Seorang isteri akan terasa hilang maruah, rendah harga diri sebagai seorang isteri jika suaminya, dengan kehadiran isteri, melihat perempuan lain dengan pandangan yang "memiangkan" suasana. Mereka tidak akan menegur kita semasa kejadian itu sedang berlaku kerana ingin menjaga maruah suami yang dicintainya itu dikhalayak ramai. Tetapi jika tegurannya itu semasa di dalam kereta (mana-mana isteri yang tidak sabar tu) atau bila dah sampai di rumah (mana isteri yang "cool") dinafikan oleh suami, maka bertambah remuklah hatinya dan akan hilanglah kepercayaan setia kawannya kepada kita. Jika ini yang terjadi, maka selepas sahaja peristiwa ini, isteri kita tidak lagi percaya kepada kita dan amat payahlah untuk kita berkomunikasi secara berkesan dengannya. Sebab hati dan pemikirannya telah negatif terhadap keikhlasan kita. Isteri kita akan ingat peristiwa ini sampai bila-bila dan akan dikeluarkannya apabila perlu untuk mematikan hujah kita semasa kita berhujah nanti.

Oleh itu, sentiasalah ingatkan diri kita akan pesanan Allah SWT untuk menundukkan pandangan mata agar bukan sahaja tidak melakukan zina mata tetapi tidak meremukkan kepercayaan isteri kepada kita. Kalau terpandang pertama, tak apa, tetapi cepat-cepatlah beristighfar... dan usahakan jangan diulangi pada kali kedua walaupun tiada isteri di sisi kita. Allah Maha Melihat lagi Maha Pengampun.

No comments:

PUSTAKA