Sunday, July 18, 2010

Lagi Hal Ekonomi M'sia

Salam kepada semua sahabat yang mengikuti blog ini,dalam fikiran saya seminggu dua ni masih berkisar dalam soal ekonomi negara. Walaupun bukanlah pakar dan berpendidikan formal dalam hal ini,namun pembacaan mampu menambahkan ilmu ekonomi ini.Ingin saya mengulas saranan seorang pakar dari Capital Dynamics dalam Ekspo Pelaburan kelmarin.

"Dua elemen yang membimbangkan ekonomi Malaysia ialah Defisit Belanjawan dan Defisit Akaun Semasa," kata Tan Teng Boo.

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Malaysia’s Economy: Sunrise or Sunset?", beliau berkata, "malangnya dua elemen ini menimpa ekonomi Malaysia dewasa ini."

Sejak 14 tahun lalu, ekonomi negara beroperasi dalam defisit belanjawan dan tidak nampak tanda-tanda keadaan ini akan berubah dan sukar untuk meramalkan masa depan yang lebih baik.

Untuk menampung perbelanjaan negara, kerajaan bergantung kepada dividen Petronas walaupun hasil pendapatan dan keuntungan syarikat milik kerajaan itu merudum tahun lalu akibat kejatuhan harga minyak mentah sebanyak 20%.

Bayaran dividen sebanyak RM30 bilion pada tahun ini iaitu sama jumlahnya tahun 2009 adalah tinggi kerana keuntungan bersih Petronas telah jatuh kepada RM40.3 bilion pada 2009 berbanding RM52.5 bilion tahun sebelumnya.

Ini bermakna nisbah bayaran dividen dari untung bersih – telah mencecah 74% pada 2010 berbanding 57% tahun lalu.

Defisit akaun semasa semakin lebar

Mengenai "Defisit Akaun Semasa", ianya berlaku apabila jumlah nilai yang diimpot melebihi nilai eksport dan elemen ini juga membimbangkan kita.

"Apabila mengimport pesawat (kapal terbang) bermakna kita membuat perbelanjaan yang tinggi, wang mengalir keluar dan menambah beban defisit akaun semasa.

"Tetapi seorang menteri menyatakan jangan bimbang kerana pembelian itu adalah untuk jangka panjang,"

Trend pelaburan langsung asing (FDI) juga amat merunsingkan kerana telah menjunam teruk sejak 2007 berbanding India, China, Vietnam malah Indonesia yang mampu menarik pelaburan asing dengan pertumbuhan yang lebih tinggi.

Mengenai kereta nasional Proton, katanya, jumlah eksport kereta itu tidak bertambah sedangkan Thailand berjaya meningkatkan jumlah eksport kereta dari negara itu walaupun mereka tidak mempunyai kereta nasional.

Pemberian insentif yang tinggi kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Proton juga menyebabkan syarikat tidak kompetitif di pasaran antarabangsa dan akhirnya membebankan rakyat kerana terpaksa menanggung kos itu.

Rasuah tinggi di Malaysia

Mengenai Indeks Persepsi Rasuah, Malaysia berada pada kedudukan yang tinggi dan tidak banyak berubah manakala Indonesia yang sedekad lalu amat sinonim dengan rasuahpun berjaya mengurangkan gejala rasuah di kalangan rakyatnya.

Pengalaman sendiri serta cerita rakan-rakan tentang rasuah dikalangan penjawat awam sangat menakutkan serta membimbangkan.Apa akan terjadi dengan senario sebegini,mereka bertugas dengan gaji yang dibayar oleh kerajaan,namun ingin berpendapatan seperti orang biznez.

Hanya menyemak perjanjian bagi pihak kerajaan,nak kena 'hulur'.hanya memproses loan bagi pihak bank atau grant kerajaan, nak kena 'hulur',hanya menjalankan tugas yang mereka mesti lakukanpun nak kena 'hulur'.Apa dah jadi dengan bangsa kita ni?

Jika rasuah ini tidak dibendung dengan serius maka Malaysia akan mengalami nasib yang sama menimpa Greece, sebuah negara kuat mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya hingga jatuh muflis.

Bagaimanapun saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat dan Indonesia merupakan contoh terbaik di mana Presidennya Bambang Susila Yudoyono berjaya mengurangkan subsidi petrol hingga menyebabkan negara itu hampir terkeluar dari defisit belanjawan.

Perlu kepada kerajaan yang kuat

Bagaimanapun kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, tidak kira sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, untuk melakukan perubahan struktur dalam ekonomi.Bila kerajaan yang memerintah kuat mereka boleh lakukan perubahan yang berkesan.dan saya setuju sistem dua parti diujudkan dinegara Malaysia yang bakal kita warisi untuk anak cucu kita dan tapi jangan pandai-pandai nak ubah perlembagaan yang termaktub menjaga kepentingan kaum peribumi.

No comments:

PUSTAKA