MERENUNG kembali pengalaman di perantauan, penulis teringat akan betapa tekunnya diri ini pada ketika itu mengikuti perkembangan semasa dan peredaran berita dari dalam negara melalui laman – laman web berita, sama ada dari media arus perdana mahupun media alternatif yang baru muncul bak cendawan selepas hujan.
Anak Malaysia di perantauan umumnya memang gemar mengikuti perkembangan berita negara mereka dan telah menjadi seakan tabiat harian bagi mereka untuk menghadap di hadapan skrin komputer dan melayari berita dari tanahair dari pelbagai sumber media cyber, yang mana berita–berita “hangat” akan menjadi topik perbualan dan diskusi di forum–forum mahupun “email groups” komuniti Malaysia setempat.
Daripada pelbagai topik, berita dan juga khabar dari negara ketika itu, penulis merasakan berita–berita berunsur politiklah yang selalunya akan mencetuskan perdebatan dan perbincangan hangat di kalangan masyarakat komuniti Malaysia yang merantau, dan berbagai ragamlah ulasan, cetusan idea dan juga perdebatan yang berlaku apabila terdapat sebarang topik atau berita sensasi dari dalam negara kita.
Dan bagi mereka yang minatnya mendalam terhadap bidang perhubungan antarabangsa dan politik misalnya, ada juga di kalangan rakyat Malaysia yang aktif dalam pelbagai aktiviti di luar negara. Ada yang terlibat secara langsung dengan kelab–kelab dan persatuan berunsur politik dan berkaitan dengan agenda pembangunan negara, mengikut selera dan ideologi masing–masing.
Kalau di UK misalnya, terdapat juga ramai di kalangan orang Malaysia yang menyertai kelab–kelab seperti Labour Youth, Young Conservatives dan pelbagai lagi aktiviti politik semata–mata atas minat yang mendalam di dalam bidang ini, malahan ada juga seorang sahabat penulis, rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap di UK yang pernah bertanding sebagai calon Parti Konservatif United Kingdom pada pilihan raya tempatan yang pernah diadakan ketika penulis merayau di sana.
Dan penulis percaya, melalui minat yang mendalam terhadap politik inilah yang diterjemahkan semula menjadi aktivisma dan juga penglibatan yang lebih aktif dalam arena politik di tanahair. Lihat sahajalah senario politik negara kita, betapa ia dimeriahkan oleh ramai tokoh yang pernah belajar dan aktif dalam aktivisma politik ketika berada di luar negara.
Malah, seorang aktivis politik di UK suatu ketika dahulu, yang jauh lebih muda dari penulis ketika ini menjadi seorang ADUN di negeri Selangor dan turut menjawat jawatan yang tinggi dalam sebuah parti politik pembangkang. Malah, yang paling menarik ada juga seorang ahli dewan undangan negeri dan pernah mencetus kontroversi moral yang menggegar persada politik nasional suatu ketika dahulu khabarnya pernah menjadi ahli dan aktif di dalam pergerakan parti komunis ketika menyambung pelajaran di luar negara.
Hakikatnya, penglibatan golongan muda dan profesional, sama ada secara aktivisma langsung mahupun tidak langsung merupakan penanda aras yang cerah terhadap betapa mendalamnya semangat dan minat mereka bagi memastikan kelangsungan pembangunan negara.
Sama ada menyokong atau membangkang, pendapat serta idea yang dilontarkan perlulah ikhlas dan membuktikan bahawasanya semangat untuk memperbaiki dan untuk turut sama–sama menyumbang kearah pembangunan negara itu masih utuh dan minat terhadap bidang politik ini amat perlu sekiranya kita luhur dalam niat kita untuk menjayakan pembangunan negara.
Di negara–negara maju, semangat sebegini semakin luntur, terutamanya dikalangan golongan muda. Mereka telah sampai ke tahap yang mendorong mereka melihat politik sebagai satu bidang yang sangat kotor dan tidak relevan. Ketika di United Kingdom, peratusan yang keluar mengundi di anggap baik sekiranya ia melebihi 40 peratus jumlah pengundi.
Trend yang sama juga dapat dilihat di negara–negara maju yang lain. Semalam, penulis tersenyum sinis apabila membaca berita siaran langsung televisyen bagi debat pilihan raya umum yang melibatkan ketua–ketua parti utama yang bakal menjadi Perdana Menteri Australia terpaksa ditunda untuk memberi laluan kepada siaran episod akhir rancangan memasak, MasterChef yang popular di Australia!
Bayangkanlah, betapa mereka mengambil mudah akan agenda pembangunan negara mereka. Semoga senario yang sama tidak berlaku di negara kita!
No comments:
Post a Comment