Monday, January 3, 2011

Harimau Malaysia?

Tersenyum sinis saya membaca komen yang dibuat oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Jahid Jahim yang juga Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), yang mengatakan bahawa ramai belia di Sabah dikatakan tersinggung dengan ungkapan "Harimau Malaya" yang sering digunakan oleh pihak media kerana ia tidak melambangkan semangat 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.

Ia masalahnya gelaran "Harimau Malaya" diberikan kepada Wira-Wira Negara yang menjulang Piala AFF Suzuki tempohari. "Harimau Malaya" adalah nama saintifik yang diberikan kepada spesis harimau yang terdapat di Selatan dan Bahagian Tengah Semenanjung Malaysia.

Menurut Wikipedia, Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni atau Panthera tigris malayensis) atau dikenali sebagai Harimau Belang merujuk kepada sub-spesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung. Harimau ini disahkan sebagai sub-spesies berasingan dari sub-spesies Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) melalui ujian genetik dan filogenik pada tahun 2004. Dianggarkan terdapat 490-510 ekor harimau ini yang hidup liar.

"Harimau Malaya" merupakan satu spesis yang terancam dan dilindungi. Gelaran "Harimau Malaya" ke atas skuad pemain muda bolasepak negara merupakan satu pengiktirafan kerana ianya melambangkan kegagahan, kekuatan, keberanian dan "Harimau Malaya" juga terkenal dengan mitosnya sebagai penguasa di rimba raya. Penggunaan "Harimau Malaya" tidak bermakna ianya terhad kepada penduduk di Semenanjung Malaysia yang dahulunya dipanggil Tanah Melayu semata-mata dan meminggirkan penduduk di Sabah dan Sarawak. Jika hendak diikutkan penggunaan "Harimau Malaya" pernah diberikan kepada penjenayah perang, Jeneral Tomoyuki Yamashita. orang yang mengetuai penaklukan Semenanjung Tanah Melayu, tetapi bukan ini yang kita maksudkan. Lagipun, nama "Harimau Malaysia" yang dicadangkan tidak terdapat di dalam mana-mana journal atau ensaikelopedia.

Penggunaan konsep 1Malaysia sewajarnya tidak disempitkan di dalam bidang kehidupan kita seperti mana yang dilakukan oleh pihak pembangkang. Cukuplah retorik sebegini dan seharusnya kita lebih menumpukan kepada apa yang dapat "Harimau Malaya" ini dapat lakukan untuk menakluk Asia dan mungkin lebih jauh dari itu, InsyaAllah.

No comments:

PUSTAKA