Sunday, March 6, 2011

Tanpa Barakah, Niaga Besar pun boleh musnah...

KETIKA mencari bahan untuk ditulis hujung minggu ini, saya terjumpa beberapa keratan akhbar mengenai sebuah seminar yang pernah dianjurkan beberapa tahun lalu.Salah satu daripadanya menarik perhatian saya.

'Jika ingin berjaya dalam niaga... Kembang bisnes atas dasar takwa dan berusaha cari barakah.'

Begitulah tajuk berita yang menukil wawancara dengan Timbalan Pengerusi Hawariyun International, Dr Ir. Gina Puspita, ahli perniagaan di Indonesia yang juga terkenal sebagai pakar jurutera pesawat. Beliau mengemudi syarikat yang beroperasi di 18 negara termasuk Perancis, Jepun, Arab Saudi, Uzbekistan dan Jerman serta mempunyai 500 pekerja.

Antara yang menarik dalam wawancara itu, Dr Gina berkata syarikatnya dapat berkembang kerana berpegang teguh kepada konsep ketakwaan kepada Allah SWT.Dalam seminar itu, beliau menceritakan bagaimana restorannya di Brunei membolehkan pelanggannya makan sepuasnya, tetapi bayar sesuka hati.

Berikutan itu, ada pelanggan memanfaatkan peluang tersebut seperti 12 anak jalanan yang makan di sana setiap hari.Tetapi, bagaimanakah restoran itu dapat bertahan?Boleh, kata beliau.'Apabila perniagaan itu dijalankan kerana bertakwa kepada Allah SWT, ia boleh berkembang.

'Orang bertanya di mana datangnya pendapatan itu? Jawapan saya, jika kita melakukan kebajikan dan bertakwa, pasti perniagaan kita dibantu oleh-Nya,' kata Dr Gina.

Malah, kerana prinsip itu, restoran tersebut sering dibantu dengan mendapat derma yang besar daripada pelanggan yang bermurah hati.Ia pernah menyediakan khidmat katering kepada seorang pelanggan yang mendesak membayar BD6,000 dan bukan RM6,000 seperti yang sepatutnya kerana pelanggan itu sedar Hawariyun banyak membuat kebajikan.Menarik, 'kan?

Malah, saya masih ingat, ketika beliau membentangkan ceramahnya dalam seminar itu, saya dan teman wartawan begitu bimbang.'Tak 'kan beliau nak cakap pasal takwa sahaja dalam ceramahnya, mana strategi niaganya?' ujar saya dalam SMS kepada teman wartawan ketika itu.

Namun, kebimbangan kami bertukar menjadi satu kejutan, apabila Dr Gina dikerumuni oleh para peserta yang sibuk 'untuk mendapatkan tip bagaimana mendapatkan barakah dalam berniaga.'Alangkah lega kami ketika itu.Kenapa saya bentangkan semula cerita beliau itu dalam rencana hari ini? Saya rasa banyak yang boleh dipelajari daripada pengalaman beliau itu untuk diri saya dan untuk pembaca, terutama para peniaga.

Kesimpulan beliau, jika ada sifat takwa, perniagaan akan ada barakah dan akan terus maju dan berkembang.Ini mengingatkan saya kepada cerita seorang teman peniaga yang gagal dalam perniagaannya beberapa tahun lalu.Perniagaannya boleh dikatakan maju, tetapi tersungkur kerana seperti kata beliau sendiri, beliau 'kurang strategi mencari barakah dan takwa' dalam niaganya yang sedang berkembang.'Saya sedar kesilapan saya. Semasa sibuk berniaga, saya lupa singgah ke masjid. Walaupun memandu di depan masjid, saya tak pernah meluangkan masa untuk masuk mendirikan solat. Saya pun selalu tinggalkan solat, kerana sibuk berniaga,' ujarnya dengan nada kesal.

Namun, beliau bersyukur kerana diberi peluang kali kedua. Setelah perniagaannya gagal, beliau bangkit semula, dan kini beliau lebih berusaha mengadunkan strategi mencari keuntungan dengan mencari barakah.Saya juga mengenali seorang lagi peniaga yang tidak berasa senang selagi belum membayar gaji pekerjanya setiap bulan.

'Saya pastikan gaji pekerja saya dibayar terlebih dulu, baru hati saya senang,' ujar beliau kepada saya baru-baru ini.Malah, peniaga ini suka menderma tetapi beliau jenis yang 'tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu.'Apakah yang kita boleh pelajari daripada kisah-kisah sebenar yang saya bentangkan ini?Kesimpulannya, kita harus berhati-hati dalam membina kekayaan menerusi perniagaan agar kita tidak hanya mengejar keuntungan.

Menurut definisi, barakah bermakna banyak kebaikan (mendapatkan banyak pahala dan keluasan rezeki), banyak memberikan manfaat.Barakah juga bermaksud tumbuh.Fitrahnya dari kecil menjadi besar.Atau dari sedikit menjadi banyak.Jadi, syarat untuk tumbuh sihat, benihnya haruslah yang baik.Ia juga memerlukan penjagaan yang teliti.Baja juga harus cukup dan bermutu.Kita juga perlu ada rancangan untuk mengelak dari serangan serangga perosak selama dalam proses pertumbuhannya.

Begitulah juga halnya dalam berniaga. Niaga kita harus dijaga dengan baik agar tidak melanggar etika Islam.Bila ada barakah, niaga yang kecil boleh menjadi besar.Tetapi tanpa barakah, kemungkinan yang kecil tidak tumbuh, malah yang besar juga mudah binasa.Tentu kita akan kesal apabila niaga yang kita bina selama ini musnah dek kegagalan kita mencari barakah.

Jadi, betul yang dikatakan Dr Gina. Kita perlu sentiasa ada keseimbangan antara mengejar keuntungan dan mencari barakah dalam berniaga.Ada peniaga yang mahu barang laris, keuntungan berganda dan cepat kaya sehingga sanggup menggadai prinsip agama dan menzalimi pihak lain. Inilah yang boleh membawa kemusnahan.Kita juga harus berpegang kepada prinsip kerja kuat, jujur dan amanah serta mengelakkan menipu dalam berniaga.

Akhir kata, janganlah kita fikirkan soal untung sahaja.Imbangilah dengan strategi mencari barakah.Tanpanya bukan sahaja perniagaan malah hidup kita juga akan menjadi terumbang-ambing.

No comments:

PUSTAKA