Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. (riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan pentingnya umat Islam menjaga hubungan persaudaraan dan menghindari perbuatan yang boleh memecah-belahkan perpaduan.
Pensyarah kanan Rancangan Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Atikullah Abdullah memperincikan isu ini.
Apakah konsep hubungan saudara sesama Islam dalam masyarakat?
DR. ATIKULLAH: Dalam konteks hubungan sesama Islam, syariat Islam menetapkan beberapa prinsip penting yang perlu kita hayati sepanjang hidup. Antaranya ialah, pertama, prinsip persaudaraan.
Prinsip persaudaraan ini jelas dalam beberapa ayat al-Quran, khususnya surah al-Hujurat ayat 10 Allah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara saudaramu dan bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kamu dirahmati.
Kedua, prinsip penasihatan. Prinsip penasihatan ini juga jelas daripada beberapa nas sama ada al-Quran mahupun hadis Rasulullah. Umpamanya dalam surah al-Asr, Allah menyebutkan antara sifat orang yang terlepas dari kerugian itu ialah orang yang berpesan dengan kebaikan dan kesabaran.
Begitu juga Rasulullah bersabda dalam hadis sahih yang bermaksud: Agama itu nasihat bagi Allah dan bagi kitab-Nya dan bagi rasul-Nya dan bagi para pemimpin orang-orang Islam dan masyarakat Islam secara umumnya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Prinsip ketiga ialah prinsip al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy an al-munkar atau menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Prinsip ini juga jelas terpancar dari ayat al-Quran dan hadis baginda. Umpamanya dalam surah al-Tawbah ayat 71 Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang beriman lelaki dan perempuan itu setengah mereka itu wali bagi setengah yang lain mereka menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Keempat, prinsip islah iaitu perdamaian. Ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Hujurat ayat 49 yang bermaksud: Jika dua puak daripada orang yang beriman itu saling berperang, maka damaikanlah antara keduanya.
Jika kita hendak mengaitkan keempat-empat prinsip tersebut dalam realiti kehidupan seharian, kita boleh katakan bahawa, orang Islam itu saling bersaudara. Maka mereka perlulah saling menasihati dan mengambil berat tentang kebaikan dan mencegah kemungkaran saudara mereka. Dalam menjalankan kewajipan menasihati dan menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran ini mungkin berlaku salah faham, perbalahan dan pertelingkahan sesama mereka, maka akhirnya mereka mesti juga berdamai kerana mereka saling bersaudara.
Bagaimanakah konsep keadilan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w semasa memerintah di Madinah khususnya kepada golongan bukan Islam?
DR. ATIKULLAH: Keadilan adalah antara salah satu kata kunci dalam system politik, ekonomi, sosial dan perundangan Islam. Keadilan adalah salah satu dari nama Allah iaitu al-‘Adl.
Malah keadilan juga merupakan antara tujuan utama perutusan semua rasul ke alam ini seperti yang dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan segala rasul Kami dengan bukti-bukti yang nyata dan Kami turunkan bersama mereka al-Kitab dan neraca supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. (al-Hadid: 25)
Keadilan Islam adalah keadilan yang mutlak tanpa batasan. Asalkan seseorang atau sesuatu kumpulan itu berhak, maka hak mereka akan ditunaikan tanpa mengira kedudukan, bangsa, warna kulit maupun kepercayaan mereka.
Hak orang Islam akan ditunaikan, sama seperti mereka juga perlu menunaikan tanggungjawab mereka. Begitu juga hak orang bukan Islam wajib ditunaikan sama seperti mereka juga wajib menunaikan tanggungjawab mereka. Ini adalah kerana konsep keadilan dalam Islam itu bermakna meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.
Memberikan hak kepada orang yang berhak, adalah kena pada tempatnya dan ia adalah keadilan yang diwajibkan oleh Islam sekalipun hak untuk orang bukan Islam.
Dalam surah al-Mumtahanah ayat 8, Allah berfirman yang bermaksud: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak menghalau kamu dari negerimu. Para mufassir termasuk Ibn Kathir menyatakan bahawa ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam perlu berbuat baik dan berlaku adil terhadap seluruh manusia meskipun mereka kafir dengan syarat mereka tidak menghalang orang Islam menjalankan perintah Islam, tidak memerangi para pendakwah Islam dan tidak membantu musuh-musuh Islam.
Dalam praktisnya keadilan dan toleransi Islam ini juga jelas dapat dilihat dalam beberapa perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah dengan orang kafir seperti Perjanjian Najran dan Perlembagaan Madinah.
Abu Yusuf dalam kitab al-Kharaj meriwayatkan antara isi kandungan Perjanjian Najran ialah “Penduduk Najran dan sekitarnya berada dalam lindungan Allah dan Rasulullah termasuk harta, agama, rumah-rumah ibadat serta apa juga harta yang mereka miliki sama ada banyak atau sedikit”.
Semangat yang sama juga dapat dilihat dalam Piagam Madinah, iaitu perlembagaan negara secara bertulis yang pertama di dunia yang mengatur hubungan antara pemerintahan Rasulullah s.a.w di Madinah dengan rakyat yang bukan Islam.
Di kalangan masyarakat Melayu sering berpegang kepada pepatah ‘berpatah arang berkerat rotan’. Adakah tindakan begini dibenarkan oleh syarak?
DR. ATIKULLAH: Pepatah dalam masyarakat Melayu boleh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pepatah yang mengandungi nilai positif untuk dijadikan ikutan atau tauladan dan pepatah yang mengandungi nilai yang negatif untuk dijadikan sempadan.
Pepatah yang disebutkan di atas tentulah termasuk dalam kategori nilai negatif yang diungkapkan oleh orang tua-tua dahulu bukan bertujuan untuk diikuti, tapi untuk dijauhi. Dalam Islam konsep ‘berpatah arang berkerat rotan’ ini tentulah tidak diterima sama sekali.
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tidak halal (yakni berdosa) bagi seseorang Islam berhijrah dari saudaranya (yakni berkelahi dan tidak bertegur sapa) melebihi tiga hari dan apabila mereka bertemu maka saling berpaling ke arah lain, sebaik-baik mereka ialah yang memulakan dengan memberi salam. (riwayat Muslim)
Larangan ini hanya sekadar tidak bertegur sapa apatah lagi jika saling sakit menyakiti atau saling bermusuhan. Tentulah larangannya lebih keras dan dosanya lebih besar.
Allah berfirman: Dan berpegang teguhlah kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai...(Al ‘Imran: 103). Bagaimana hendak memulih dan menyatukan semula perpaduan terutama di kalangan umat Islam khususnya selepas tamat pilihan raya?
DR. ATIKULLAH: Dalam ayat yang disebutkan itu telah ada cara yang paling ampuh untuk mengembalikan perpaduan umat Islam iaitu dengan cara berpegang teguh kepada tali Allah, iaitu agama Islam.
Jika semua umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam seperti mana yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunah, maka kita akan mencapai perpaduan yang sejati dan kukuh.
Bagaimanapun dalam memahami isi kandungan al-Quran dan al-Sunah itu tentulah ada perbezaan fahaman di kalangan para ulama khususnya dalam ayat-ayat yang bersifat zanni dari segi dalilnya.
Namun perbezaan ini merupakan rahmat dan ia tidak membawa kepada perpecahan dengan syarat ia berlaku di kalangan para ulama yang berwibawa atau muktabar dan setiap pihak yang berkhilaf itu bersikap lapang dada terhadap satu sama lain.
Sikap ini boleh dicontohi dari ungkapan Imam al-Syafie yang menyebut, “Aku yakin bahawa pandangan aku ini benar tapi ada kemungkinan juga ia salah dan aku yakin bahawa pandangan pihak lain itu salah namun ada juga kemungkinan mereka benar”.
Dalam konteks perpaduan selepas pilihan raya di Malaysia, puncanya kembali kepada dua perkara utama.
Pertama, matlamat sebenar pihak yang terlibat dalam pilihan raya tersebut. Jika parti politik yang terlibat dalam pilihan raya tersebut menganggap bahawa pilihan raya dan kemenangan serta kuasa yang diperoleh dari kemenangan dalam pilihan raya itu merupakan matlamat mereka, maka mereka tidak akan berpuas hati jika pihak lain menang dan kuasa berpindah tangan.
Ini kerana kuasa dan kekayaan yang akan terhasil dari kuasa itu merupakan matlamat mereka. Sebaliknya, jika mereka menganggap bahawa kuasa itu hanyalah satu wasilah untuk membolehkan mereka memberi khidmat kepada Islam dan negara, maka kehilangan kuasa ataupun kegagalan mendapatkan kuasa bukanlah sesuatu yang sangat merugikan mereka.
Dalam perjuangan, umat Islam percaya bahawa kita tidak akan ditanya oleh Allah sama ada kita menang atau kalah, tetapi kita akan dipersoalkan tentang apakah yang kita perjuangkan. Sekalipun menang, tetapi jika perjuangan itu perjuangan yang salah, maka ia sesuatu yang merugikan, sebaliknya, sekalipun kalah tetapi jika perjuangan itu perjuangan yang benar, maka ia tetap beruntung dan diberi ganjaran oleh Allah.
Jika pegangan seperti ini ada, maka kalah menang dalam pilihan raya tidak terlalu mengecewakan mereka sehingga hilang pertimbangan dan berlaku pergaduhan dan permusuhan antara satu sama lain.
Kedua, sikap dan strategi berkempen menjelang pilihan raya juga akan memberi kesan kepada perpaduan selepas itu. Jika kempen menjelang pilihan raya itu dilakukan secara tidak beradab dan berakhlak, apatah lagi jika wujud serangan peribadi dari segi tubuh badan fizikal, rupa paras, keturunan dan sebagainya, ia akan memberi kesan yang mendalam dan lama serta sangat sukar untuk dilupai dan dirawati.
Sebaliknya jika serangan itu dilakukan terhadap dasar, polisi, strategi, kaedah perlaksanaan, kelayakan ilmu, kelayakan akhlak dan sebagainya, maka ia lebih mudah dilupakan dan dimaafkan selepas pilihan raya dan dengan itu perpaduan lebih mudah tercapai.
Bagaimanapun dalam konteks perpaduan selepas pilihan raya yang telah berlalu ini, kesemua pihak yang menang dan yang kalah haruslah bertenang dan menerima kemenangan atau kekalahan ini dengan rela dan tenang serta menerima pilihan rakyat dengan waras.
Bagi yang merasa bahawa ia kalah, perlulah bermuhasabah merenung ke dalam diri sendiri mencari kelemahan dan kesilapan supaya ia tidak akan berulang. Mengakui kelemahan dan kesilapan diri merupakan satu kekuatan yang jarang orang mampu melakukannya.
Bagi yang merasa ia menang haruslah bertenang dan memikulkan tanggungjawab dan bebanan yang diperoleh dengan penuh amanah tanpa diskriminasi terhadap pihak yang tidak menyokong mereka.
Jika ini dapat dilakukan, insya-Allah masyarakat kita akan bertambah matang dan pilihan raya tidak akan memecahkan kita.
Ramai daripada kita yang tidak bersedia apabila kuasa ditarik balik. Bagaimana membetulkan keadaan ini?
DR. ATIKULLAH: Asasnya kembali kepada persepsi masyarakat terhadap kuasa itu sendiri seperti yang disebutkan tadi. Jika kuasa itu dianggap sebagai matlamat dengan sendirinya, atau kuasa itu sebagai wasilah untuk mencari kekayaan, maka amat sukar bagi mereka untuk berenggang dengan kuasa, kerana ia merupakan matlamat hidup mereka.
Hilang kuasa bererti hilanglah tujuan hidup mereka dan hilanglah kemegahan hidup mereka. Sebaliknya jika kuasa itu dianggap sebagai tanggungjawab dan amanah yang dibebankan ke atas bahu mereka, maka terpisah daripada kuasa merupakan kerehatan hidup dan terlepas daripada bebanan yang teramat berat.
Ini kerana dalam Islam setiap tugas dan amanah yang dipikulkan oleh Allah itu akan disoal di akhirat kelak. Nasib setiap individu rakyat menjadi tanggungjawab pemerintah sehingga nasib seekor haiwan juga menjadi tanggungjawab pemerintah.
Saidina Umar semasa menjadi khalifah telah menerima laporan bahawa seekor unta tergelincir dan terseliuh kakinya semasa berjalan di tebing Sungai Furat.
Lalu baginda berkata, “Nescaya kamu dapati aku akan ditanya oleh Allah di Padang Mahsyar nanti kenapa aku tidak menyediakan laluan yang sesuai untuk unta tersebut”.
Ini menunjukkan bahawa tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pihak yang memegang kuasa itu sangat berat. Dengan itu jika tidak memegang kuasa maka tugasnya menjadi lebih ringan.
Jika pegangan seperti ini dapat diterapkan dalam masyarakat kita, maka insya-Allah masalah ‘gila kuasa’ dan sebagainya dapat diatasi dengan baik.
Sebagai sebuah negara bermasyarakat majmuk, bagaimanakah bentuk keadilan yang perlu ditunjukkan dalam pemerintahan umat Islam?
DR. ATIKULLAH: Realiti masyarakat majmuk bukanlah merupakan satu identiti yang terlalu unik bagi Malaysia sahaja. Hampir tidak ada dalam mana-mana masyarakat di seluruh dunia dari dahulu hingga sekarang yang terdiri dari satu bangsa sahaja tanpa campuran dengan bangsa-bangsa lain atau kumpulan etnik-etnik lain.
Pada zaman Rasulullah memerintah Madinah telah pun wujud masyarakat majmuk pelbagai bangsa, kabilah dan agama yang terdiri daripada umat Islam, musyrikin Mekah dan pelbagai kabilah Yahudi.
Namun hal ini tidak menjadi halangan bagi pemerintahan yang adil dan saksama seperti yang dibuktikan oleh Rasulullah. Walaupun pemerintahannya berdasarkan Islam, tetapi haruslah diingat bahawa syariat Islam itu didatangkan untuk membawa rahmat sekelian alam seperti firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya' yang bermaksud: Dan tidak Kami utuskan engkau Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam.
Ayat ini menjelaskan bahawa utusan rasulullah yang membawa Islam itu untuk rahmat dan kebahagiaan bagi semua makhluk termasuk manusia dalam kepelbagaian bangsa dan warna kulitnya.
Bagaimanapun pemerintahan Islam tidak boleh memaksa masyarakat bukan Islam menerima ajaran Islam. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Tiada paksaan dalam beragama. (al-Baqarah: 256)
Pemerintahan Islam merupakan pemerintahan yang berasaskan syariat dan undang-undang, bukan berasaskan emosi dan sentimen. Jika seseorang itu berhak, maka haknya akan tetap ditunaikan, sekalipun ia seorang kafir, sebaliknya jika ia tidak berhak, maka ia tetap tidak berhak sekalipun ia seorang Muslim.
Pemerintahan Islam terbukti sebagai pemerintahan yang menghormati hak asasi manusia dari segi kebebasan beragama, bersuara, kebebasan mencari nafkah dan sebagainya.
Hakikat ini terbukti sepanjang zaman dan diakui oleh semua sejarawan, baik Islam maupun bukan Islam. Ini merupakan model atau contoh-contoh yang boleh diikuti dalam menjalankan sebuah pemerintahan Islam moden hari ini.
No comments:
Post a Comment