Wednesday, July 9, 2008

Siapa Konspirator?

Buat kali kedua rakyat Malaysia dipersaksikan dengan satu lagi peristiwa dakwaan kes liwat, kali ini sekali lagi membabitkan Anwar Ibrahim. Dakwaan kali ini boleh menjadi penentu kepada keadaan politik negara yang begitu meruncing, iaitu ketika teraju kepimpinan negara tidak diketahui akan beralih ke tangan siapa. Empat individu yang dilihat berpotensi untuk berada di tempat tertinggi teraju kepimpinan negara ialah Pak Lah, Najib Tun Razak, Anwar dan Tengku Razaliegh. Keempat-empat mereka mempunyai peluang yang begitu seimbang untuk menerajui negara. Apa-apa senario yang berlaku dalam tempoh terdekat ini mampu mengubah senario politik negara dan menabalkan salah seorang mereka.

Oleh sebab itu, kes dakwaan liwat ini merupakan satu faktor dominan yang boleh menentukan senario politik itu. Pak Lah awal-awal lagi menafikan beliau terlibat dengan konspirasi tersebut (tak tercapai akalnya). Manakala Tengku Razaliegh pula tidak mungkin terbabit dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Anwar kerana setakat yang diketahui beliau tidak mempunyai orang-orang kuat yang boleh bertindak ala-gestapo dan mafia. Malah kedua-dua Pak Lah dan Tengku Razaliegh dilihat tidak akan mendapat kesan langsung dari segi politik sekiranya isu dakwaan itu akan menjadi isu penentu dalam politik negara. Maka tinggal dua individu yang akan terkesan secara langsung iaitu Anwar dan Najib.

Selepas tersebarnya dakwaan itu senario politik negara kelihatan mengimbau semula kepada simpati rakyat terhadap peristiwa pemecatan Anwar hampir satu dekad yang lalu. Peristiwa itulah yang telah menyebabkan majoriti kaum Melayu bersimpati dengan Anwar sehingga simpati itu diterjemahkan ke dalam bentuk sekongan politik dalam Pilihanraya Umum 1999. Sokongan itu bagaimanapun mulai berkurangan dengan tertabalnya Pak Lah sebagai Perdana Menteri. Sokongan majoriti kaum Melayu pada tahun 1999 sememangnya diakui berpunca daripada simpati terhadap Anwar dan boleh dikatakan ketika itulah pembangkang mendapat sokongan majoriti kaum Melayu.

Faktor Anwar ini mulai merosot selepas Pilihanraya Umum 1999 dan berterusan sehinggalah Anwar disumbat ke dalam penjara. Seruan reformasi Anwar yang bercampur-baur dengan simpati terhadapnya bagaimanapun terus ditiup oleh penyokong-penyokong kuat Anwar seperti Ezam dan rakan-rakannya. Bagaimanapun menjelang tahun 2004 setelah Dr Mahathir meletakkan jawatan sokongan terhadap Anwar itu semakin merosot. Fenomena kemerosotan ini dibuktikan melalui peti-peti undi pada Pilihanraya Umum 2004.

Kemungkinan selepas menyedari bahawa Anwar tidak lagi menjadi faktor politik yang penting dalam senario politik, terdapat usaha-usaha untuk membebaskan Anwar daripada tuduhan yang dilemparkan. Tidak dinafikan selepas pembebasan itu pengaruh Anwar kembali meningkat sedikit tetapi tidaklah seperti yang berlaku seperti sejurus selepas pemecatannya pada tahun 1998. Sokongan terhadap Anwar ini dengan seruan reformasinya mulai mendapat tempat di kalangan kaum bukan Melayu, manakala kaum Melayu tidaklah begitu banyak berubah. Malah agak menghairankan juga apabila rakan-rakan lama Anwar dalam ABIM, PKPIM, JIM dan lain-lain juga turut meragui masa depan Anwar dalam politik. Keputusan Pilihanraya Umum 1999, merupakan antara petunjuk sokongan kaum Melayu dan bukan Melayu kepada Anwar.

Dengan tercetusnya isu terbaru tentang liwat ini, dilihat telah mengimbau semula sokongan masyarakat Melayu kepada Anwar. Rakan-rakan lama Anwar mulai menzahirkan simpati termasuklah melalui proksi mereka seperti PKPIM. Akhbar internet Malaysiakini pula menyatakan bahawa isu ini akan menaikkan semula reputasi Anwar dalam senario politik negara. Sememangnya sukar dan tidak bertanggungjawab untuk menuduh Anwar merancang ini semua untuk tujuan itu sebagaimana tuduhan Dr Mahathir bahawa Anwar menumbuk dirinya sendiri. Bagaimanapun kemungkinan itu tidak seharusnya diketepikan betapa pula tiada telahan dibuat oleh kebanyakan pemerhati politik tentang itu. Laporan polis liwat terhadap Anwar ini sememangnya mampu merubah pandangan majoriti rakyat terhadap imej baik Anwar sekiranya pihak pendakwa benar-benar berjaya menunjukkan dakwaan itu berlaku. Menyedari hakikat tersebut kemungkinan untuk Anwar merancang sendiri konspirasi itu agaklah kecil kerana isu ini amat berisiko terhadap Anwar.

Isu berkaitan dengan gambar budak yang diliwat dengan Pegawai Khas Najib ini mungkin boleh menjadi penentu yang terbaik. Pegawai Khas Najib itu ialah Khairil Anas Jusoh. Beliau sebenarnya bekas lulusan UIA dan University of Cambridge dalam bidang undang-undang. Beliau juga dikatakan pernah berguru dengan Edward De Bono yang terkenal sebagai tokoh yang memperkenalkan banyak kaedah berfikir. Khairil Anas ini seorang yang agak Islamik dan mendapat tarbiyah ABIM. Bagaimanapun Khairil Anas ini pula sememangnya merupakan penyokong Anwar yang agak kuat. Gambar-gambar beliau di rumah Anwar semasa pemecatan Anwar tahun 1998 boleh menjadi bukti keterlibatannya menyokong Anwar semasa reformasi dahulu. Semasa di kampuspun beliau merupakan antara pengkagum Anwar serta mengenali ramai pembantu-pembantu rapat Anwar seperti Khalid Jaafar.

Soalnya kepada siapakah kesetiaannya diberi. Adakah masih setia kepada Anwar atau beliau telah berpaling kepada Najib. Kemungkinan beliau lebih mengetahui siapa konspirator.

1 comment:

D'ayo said...

Tuan punya blog,

Pak Lah tidak mendapat kesan langsung dari segi politik terhadap semua nie?

Tengku Razaliegh mungkin tidak tapi Pak Lah?

Beliau mungkin tidak seperti Tengku Razaliegh yang tidak mempunyai orang-orang kuat yang boleh bertindak ala-gestapo dan mafia ...

Maybe he is killing two birds with only one stone ...

PUSTAKA