Sunday, August 10, 2008

Pena lebih tajam dari pedang

Zaman kini penulisan blog menjadi yang cukup glamor, ada yang menulis di blog mereka sekadar untuk menceritakan hal-hal peribadi, ada yang menceritakan suasana politik, ada yang menceritakan hal ehwal agama, ada yang menceritakan suasana yang berlaku di tempat masing-masing. Tak kisahlah apa yang hendak ditulis. Cuma di dalam suasana rancak ini, jangan sampai kita menulis sehingga boleh menimbulkan fitnah. Saya bukan bermaksud tidak boleh menceritakan keadaan hal ehwal sekarang ini. Tetapi biarlah setiap tulisan yang ditulis berdasarkan fakta yang tepat dan soheh. Kalau penulis ilmu agama perlu merujuk dahulu sebelum menulis. Begitu juga dengan penulisan yang lain. Rujuk dahulu sebelum menulis. Adakah setiap maklumat yang dapat berdasarkan kepada sumber yang soheh ataupun sekadar ingin menyebarkan fitnah. Walaupun fitnah itu menuju kepada musuh. Quran telah mengajarkan kepada umat manusia supaya sentiasa memastikan setiap berita atau akhbar yang sampai diperiksa kesahihannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; - (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Al-hujurat 6-8)

Ayat ini telah menjelaskan kepada manusia bagaimana cara untuk mengeluarkan sesuatu fakta khususnya jika fakta tersebut berkaitan dengan perkara-perkara yang boleh menjatuhkan moral individu tertentu ataupun masyarakat tertentu.

Ayat ini juga menceritakan bagaiman bentuk pentadbiran Islam, setiap perkara yang menimbulkan ketidak puasan hati perlu bertanya direct kepada pimpinan, tak kiralahh samada kepimpinan negara ataupun kepimpinan jemaah ataupun kepimpinan organisasi yang kita berada di bawahnya.

Dengan sebab penulisan tanpa fakta, ilmu yang disebarkan menjadi songsang. Kemudian berlakunya saman-menyaman dan sebagainya. Ini semua merupakan kesan di atas penulisan. Kita menulis bukan untuk mencari permusuhan tetapi kita menulis untuk menceritakan kebenaran dan menegakkannya. Kalau kita menulis tentang keruntuhan moral dari kalangan pimpinan negara berdasarkan maklumat yang soheh. Bukan bermakna kita membencinya. Tetapi atas dasar kita menyayanginya. Yang penting setiap penulisan hendaklah ditulis dengan penuh kasih sayang, bukan niat untuk menjatuhkan, bukan niat untuk memburukkan sesuatu pihak. Bukan niat untuk mencari permusuhan.

Kita menulis kerana Allah. Kita menulis kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT. Bukan sekadar untuk melampiaskan perasaan semata-semata.

No comments:

PUSTAKA