Saturday, February 14, 2009

'DIE HARD' antara 2 Bekas Sahabat


Menjadi pengulas memang mudah. Apa yang terlintas atau terasa kita luahkan tanpa fakir apa kesan kata-kata itu. Yang mendengarnya pun lagi sedap. Lagi panas ulasan lagi dikatakan bernas dan betul. Yang senaknya orang yang bermain di padang, bertungkus lumus untuk memenangkan pasukan. Samada padang bola atau padang politik, prinsipnya sama saja, kalau tak ada pengulas panas tak sedap.

Di padang politik Kuala Terengganu kita harus mengucapkan tahniah kepada Mohd. Abdul Wahid Endut, calon PAS kerana memenangi kerusi parlimen kawasan tersebut dengan majoriti 2,631 undi. Dalam sistem demokrasi, kelebihan satu undi pun dikira menang. Maka bersemaraklah pengulas politik menyatakan “majoriti rakyat dahagakan perubahan,” walaupun kelebihannya cuma satu undi.

Dalam kes Kuala Terengganu calon PAS berjaya menarik pengundi baru sebanyak 949 orang. Ini kerana jumlah undi diperolehi dalam pilihan raya kecil tersebut adalah 32,883 manakala Mohamad Sabu yang bertanding ketika pilihan raya umum Mac tahun lalu mendapat 31,934 undi.

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pula menunjukkan kegagalan parti itu mengekalkan 32,562 undi yang diperolehi Allahyarham Datuk Razali Ismail pada Mac tahu lalu. Beliau mendapat mendapat 30,252 undi iaitu kurang 2,310 berbanding Razali.

Peratusan keluar mengundi kali ini turut menurun dengan 79.3 peratus atau kira-kira 63,993 pengundi daripada 80,229 orang layak mengundi berbanding 82.3 peratus atau kira-kira 66,112 pengundi daripada sejumlah 80,325 pengundi yang layak pada pilihan raya umum lalu.

Kemerosotan 3 peratus pengundi ini bermakna sebanyak 2,119 pengundi yang keluar mengundi Mac lalu tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihanraya kecil ini. Samada yang tidak keluar mengundi itu akan menyokong pembangkang atau kerajaan itu adalah suatu kemungkinan.

Saya tidak mahu mengulas punca kekalahan atau kemenangan calon-calon yang bertanding. Disaat ramai yang meramalkan bahawa angin perubahan sedang kuat berlaku dan peralihan kuasa akan berlaku, saya ingin nyatakan bahawa kemungkinan ini akan berlaku hanya pada Pilihanraya Umum ke 13 selewat-lewatnya pada 2013 yang akan datang.

Saya yakin, dengan izin Allah, bertapapun serangan yang hebat terhadap peribadi Najib, beliau akan sampai dahulu dalam perlumbaan Najib-Anwar ke Putrajaya pada Mac ini. Cuma soalnya berapa lama beliau akan menjadi Perdana Menteri. Najib akan berhadapan dengan tokoh berkarisma Anwar yang memiliki track record ‘die hard’ dalam mencapai cita-cita sebagai PM. Dan cabaran ini menyulitkan bagi beliau.

Allah menentukan juga Anwar menjadi ketua pembangkang walaupun beliau hanya tinggal setapak lagi untuk memegang jawatan PM selepas Mahathir. Anwar terpaksa menunggu sehingga PRU ke 13 yang akan datang untuk merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Keputusan Pilihanraya kecil Kuala Terengganu belum cukup untuk mengubah kerajaan baru sebelum Mac.

Cita-cita Anwar untuk menjadi PM sudah pasti tercapai jika sekiranya Pak Lah melengkapkan tempoh penuh jawatan PM untuk tempoh 5 tahun. Itulah yang diminta oleh Presiden PAS Tuan Haji Hadi dan Anwar. Ini kerana Pak Lah ternyata lemah dalam seluk beluk pertarungan politik dan pentadbiran serta dasar liberal lepas tangan.

Melihatkan kepada keputusan Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Barisan Nasional masih mempunyai penyokong tegar yang masih belum banyak berubah. Pemegang kuasa mempunyai advantage dalam mengurus dan mengengam kekuasaan sebelum terlepas. Tahun sepanjang 2009 ini akan melalui peristiwa-peristiwa besar yang penuh mencabar, terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan dalam menentukan kejayaannya.

Namun faktor-faktor berikut adalah penentu akhir yang akan menentukan hayat pemerintahan UMNO/BN.

1. Kredibiliti dan tanggapan rakyat terhadap pimpinan utama yang akan dipilih dalam perhimpunan Agung UMNO pada Mac nanti. Kalau yang terpilih adalah dikalangan yang pada tanggapan rakyat mereka memiliki ‘track record’ yang buruk dan tidak meyakinkan, maka tunggulah kesudahannya.

2. Kredibiliti dan tanggapan rakyat terhadap barisan kabinet yang akan dipilih oleh Najib. Jika ianya merupakan muka-muka lama yang tidak meyakinkan serta diletak pada potfolio yang tidak berkenaan, maka tunggulah hukuman rakyat.

3. Bagaimana Najib dan pasukannya mengurus krisis ekonomi yang melanda sekarang. Banyak isu-isu seperti penggangguran, pemberhentian pekerja, peningkatan kadar jenayah akan berlaku akibat krisis global ini. Jika ini dapat diurus dengan baik, maka BN akan keluar dari kemelut ini dengan cemerlang.

4. Strategi UMNO/BN dalam mengendalikan media perdana dan internet dengan bijak dalam memanipulasi data dan maklumat serta menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan.

5. Bagaimana UMNO/BN membalas jawapan terhadap tawaran lumayan Anwar dan Pakatan Rakyat terhadap kaum bukan Melayu; seperti jawatan timbalan perdana menteri bukan Melayu, milikan tanah 999 tahun, papan tanda pelbagai bahasa, penggunaan Allah dalam bible bahasa Melayu dan sebagainya.

6. Secepatmana kesungguhan UMNO/BN melakukan pengemaskinian dan pembaharuan dalam jentera parti melalui proses ‘rebranding’.

7. Bagaimana UMNO/BN mempengaruhi fikiran dan hati lebih dari 2.5 juta pengundi baru yang terdedah kepada pelbagai sumber maklumat dan akan mula mengundi dalam pilihanraya ke 13 yang akan datang.

8. Sejauhmana UMNO/BN mendisplinkan pimpinan dan ahli-ahli parti dalam proses pembersihan dan pembahruan dalaman.

Seperti yang saya nyatakan bahawa dalam politik siapa yang memiliki kuasa merekalah memiliki kelebihan yang boleh digunakan sehinggalah keputusan akhir yang diputuskan rakyat. Dalam hal ini saya percaya Najib akan sampai dahulu ke Putrajaya.

Inilah peluang terakhir beliau, jika tidak dimunafaatkan sebaik dan sebijak mungkin, akan berakhirlah kisah perjalanan sebuah parti politik yang berjasa besar dalam sejarah perjuangan pembangunan dan kemerdekaan bangsa.

Dato' Fuad Hassan

No comments:

PUSTAKA