Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menjadikan alasan kesibukan untuk menjarakkan dirinya dengan rakyat. Sejak memegang jawatan Perdana Menteri, bukan sekali beliau membuat lawatan mengejut ke beberapa buah kawasan tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota. Terbaru pagi semalam apabila beliau ke Jalan Tuanku Abd. Rahman dan Puduraya.
Penulis melihat ia lebih daripada sekadar lawatan mengejut, dalam erti kata lain ia mempunyai mesej tertentu terutama di kalangan pemimpin politik UMNO dan Barisan Nasional supaya sentiasa turun padang untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.
"Turun padang" bagi ahli politik ataupun wakil rakyat yang benar-benar ikhlas untuk membangun dan menaiktaraf kehidupan penduduk kawasan yang beliau wakili, bermaksud meninjau dari masa ke masa permasalahan rakyat di situ dan berusaha sedaya upaya membawa setiap masalah yang dibangkitkan dibawa ke pengetahuan pihak kementerian atau pun dibincang di dalam Parlimen.
Jika ada wakil rakyat yang enggan turun ke padang, misalnya ketika rakyat dia ditimpa musibah alam..walaupun sejuta alasan yang diberikan, itu adalah sangat malang sekali, dimana ketika itulah rakyat sangat memerlukan bantuan dan simpati
Program 'turun padang' seperti yang sering dilakukan oleh Najib haruslah menjadi amalan setiap pemimpin masyarakat dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
Pemimpin masyarakat peringkat kampung contohnya, perlu sentiasa mendampingi rakyat dengan menyediakan strategi tertentu untuk lebih peka dengan keperluan dan masalah mereka.
Mereka harus bertindak dengan lebih proaktif dengan mengambil kira segala keperluan dan masalah rakyat itu sebagai komitmen dan akauntabiliti kita sama ada dalam parti atau kerajaan
Dalam hal ini jangan pula ikut cara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Sudahlah tak mahu melawat, malah menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.
Menurutnya, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.
“Saya ada wakil rakyat dan Exco yang mengendalikan bantuan kepada mangsa dan saya sentiasa berhubung dengan mereka.
“Jadi, tidak perlu saya turun padang kerana ia membazirkan masa saya.”Jika saya datang melawat, saya terpaksa membawa bersama 15 hingga 20 orang saya dan ini akan melibatkan kos kewangan,” katanya dengan selamba.
Penulis ingin tegaskan di sini, adalah penting bagi pemimpin tinggi kerajaan seperti menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan ketua jabatan turun padang bagi merasai apa yang dilalui oleh rakyat.
Apatah lagi golongan berkenaan sering diberi keutamaan ketika berurusan dengan jabatan kerajaan hingga mereka tidak mengetahui kesukaran yang dilalui oleh rakyat biasa.
Jadi adalah penting untuk pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan supaya sentiasa turun padang dan mengetahui secara dekat kelemahan dan cara menambahbaik sistem penyampaian terutama dalam sektor perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang negara.
Dari segi politik pula, kita kena ingat pembangkang mempunyai banyak isu yang boleh mempengaruhi penyokong mereka dan penyokong BN.
Antaranya projek-projek terbengkalai, isu pemimpin yang hanya turun padang ketika pilihan raya sudah dekat, isu jalan raya lambat siap, sampah sarap bertimbun dan isu pendatang tanpa izin yang memualkan penduduk setempat.
Persoalannya, adakah wakil-wakil rakyat BN telah menunaikan tanggungjawabnya dengan baik selama menjadi wakil rakyat? Jika jawapannya ya, maka kepercayaan pengundi akan meningkat.
Percayalah, turun padang adalah antara cara berkempen yang terbaik.
Memang banyak Yang Berhormat BN yang berkaliber tetapi banyak juga yang hanya menggunakan nama parti untuk kepentingan peribadi. Mereka inilah yang melemahkan BN.
Ada pula Ahli Parlimen BN yang hanya melalak di sidang Parlimen tetapi habuk pun tarak di kawasannya.
Ada yang marah-marah (terikut-ikut dengan pembangkang) tetapi isu yang dimarah-marahkan itu hanyalah isu-isu picisan.
Cubalah YB perdebatkan tentang isu menangani remaja yang semakin runtuh moralnya, pendidikan dan isu yang lebih merupakan isu langsung rakyat.
Percayalah rakyat sekarang sudah boleh menilai yang mana baik dan buruk.
Dalam zaman Internet ini, seseorang YB tidak lagi mampu menutup kelemahan politiknya kepada umum.
Kita mungkin akan dibenci, tetapi jika kita sanggup mengakui kesilapan kita, dan melakukan yang terbaik kepada rakyat penulis yakin penyokong BN akan kembali dan penyokong pembangkang juga akan berpaling tadah.
Ingatlah pengundi bukan mahu mendengar ceramah atau cerita yang baru direka sehari sebelum pilihan raya, tetapi mahu melihat apa yang telah dibuat, disumbangkan dan diamalkan sejak lima tahun lalu.
Yang pasti, makin kurang turun padang, makin dekatlah seseorang YB itu menggali kuburnya sendiri.
Kubur yang bernama....kekalahan!
No comments:
Post a Comment